JPSM guna satelit kesan pencerobohan hutan

Zahari (kanan) bergambar selepas menanam pokok sempena Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar pada Selasa.
Zahari (kanan) bergambar selepas menanam pokok sempena Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar pada Selasa.
A
A
A

SABAK BERNAM - Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) mewujudkan ‘war room’ (pusat pemantauan) menggunakan satelit bagi mengesan sebarang perubahan dan pencerobohan hutan di negara ini.

Timbalan Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia (Dasar dan Perancangan), Datuk Zahari Ibrahim berkata, pusat pemantauan itu berfungsi untuk menyampaikan maklumat dan meningkatkan aktiviti penguatkuasaan.

"Daripada 'war room' ini kita akan sampaikan kepada Jabatan Perhutanan negeri untuk semak (menjalankan tindakan penguatkuasaan) melalui pemantauan udara menggunakan dron atau rondaan di darat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kesedaran Kepentingan Hutan Paya Gambut dan Kesedaran Mengenai Kebakaran Hutan di Negeri Selangor di Dewan Seri Bernam, Sungai Besar di sini, pada Selasa.

Zahari memberitahu, pihak kerajaan juga telah membuat pindaan kepada Akta Perhutanan Negara 1984 dengan meningkatkan kadar denda, hukuman dan bidang kuasa kepada pusat, selain kadar penalti tambahan untuk membendung serta membanteras kegiatan pembalakan haram yang merosakkan alam sekitar.

"Kita juga telah mempertingkatkan penguatkuasaan supaya tindakan lebih tegas diambil kepada pesalah," tambahnya.

Ditanya mengenai langkah JPSM menangani kes kecurian dan menebang pokok bakau untuk tujuan komersial, Zahari berkata, pihaknya mempunyai prosedur operasi standard (SOP) dan sistem ketat bagi mengawal aktiviti berkenaan.

"Aktiviti mencuri dan pembalakan bakau secara haram terkawal dan bukan satu aktiviti berskala besar," katanya

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai program itu, Zahari memberitahu, masyarakat terutama golongan pelajar perlu diberi pendedahan mengenai kepentingan memulihara hutan simpan di negara ini.

Kata beliau, pada masa ini negara masih mempunyai kawasan berhutan kira-kira 54.6 peratus.

"Di Selangor walaupun maju dan membangun, tetapi mengekalkan 30 peratus kawasan berhutan daripada kawasan tanah keseluruhan," jelas beliau.