Banjir Perak: Jumlah mangsa meningkat pagi ini

Operasi mengeluarkan mangsa di Kampung Batu 7, Changkat Jong dilakukan selepas kawasan terlibat dinaiki air. - Foto APM
Operasi mengeluarkan mangsa di Kampung Batu 7, Changkat Jong dilakukan selepas kawasan terlibat dinaiki air. - Foto APM
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak meningkat kepada 299 orang daripada 87 keluarga setakat jam 8 pagi pada Selasa.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan, jumlah itu meningkat berbanding 285 orang daripada 82 keluarga yang dilaporkan tengah malam tadi.

Menurutnya, kesemua mangsa masih kekal ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Hilir Perak dan Kerian.

"Penambahan jumlah keluarga dan mangsa itu melibatkan PPS Dewan Sebaguna Padang Tembak, Teluk Intan yang kini menempatkan 145 mangsa daripada 44 keluarga.

"Jumlah mangsa di PPS Dewan Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap berkurangan tetapi masih belum ditutup secara rasmi setakat ini," katanya di sini.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak membantu membawa keluar mangsa yang terjejas banjir di Kampung Batu 9, Changkat Jong pada malam Isnin. - Foto APM
Anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Hilir Perak membantu membawa keluar mangsa yang terjejas banjir di Kampung Batu 9, Changkat Jong pada malam Isnin. - Foto APM

Tambah sekretariat itu, di Kerian, seramai 97 mangsa daripada 24 keluarga masih ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan 57 daripada 19 keluarga berlindung di PPS SK Alor Pongsu.

Sementara itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) melaporkan paras Sungai Bidor di Changkat Jong masih berada pada paras bahaya apabila merekodkan ketinggian 4.1 meter berbanding paras normal iaitu dua meter.

Artikel Berkaitan:

Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak turut memaklumkan laluan FT147 Jalan Selama di Kerian masih ditutup kepada semua kenderaan dan orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif di A111 Jalan Pintasan Alor Pongsu-Bukit Merah.