46 struktur penjaja haram PPR Sri Pantai dirobohkan

Kerja-kerja merobohkan struktur penjaja haram di PPR Seri Pantai di sini pada Rabu lalu.
Kerja-kerja merobohkan struktur penjaja haram di PPR Seri Pantai di sini pada Rabu lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan 46 struktur penjaja haram di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai, di sini pada Rabu lalu.

DBKL dalam kenyataannya memaklumkan, operasi itu dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menurut kenyataan itu, operasi dijalankan sebagai salah satu usaha untuk menyusun semula penjaja di Kuala Lumpur khususnya di kawasan Perumahan Awam (PA) dan PPR.

"Notis permakluman 14 hari telah dikeluarkan pada 16 Oktober lalu kepada penjaja terlibat bagi membolehkan mereka membuat persiapan mengosongkan tapak serta peralatan mereka sebelum kerja perobohan dilaksanakan.

"Selain itu, DBKL juga telah mengadakan sesi libat urus lebih awal bersama penjaja terlibat bermula April lalu," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Kenyataan itu memberitahu, berdasarkan sesi libat urus itu, satu kesepakatan dicapai mengenai penempatan semula serta pemindahan penjaja di beberapa lokasi baharu.

Jelas kenyataan itu, lokasi itu antaranya seperti di Medan Selera Tempat Letak Kereta PPR Seri Pantai, Bazaria Pantai, Medan Selera Seri Pantai dan unit kedai di kawasan perumahan.

"DBKL komited untuk menyusun semula penjaja di ibu kota dengan mengenal pasti lokasi bersesuaian dengan konsep penjajaan teratur dan bersih sejajar dengan matlamat Perdana Menteri iaitu mewujudkan persekitaran serta peluang lebih baik buat penjaja di Kuala Lumpur," ujarnya.

Artikel Berkaitan: