Isu Cameron Highlands: Selesai cara 'menang-menang'

Fuziah Salleh
Fuziah Salleh
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang diminta mencari jalan penyelesaian 'menang-menang' dengan pekebun sayur berkaiitan isu tanah pertanian di kawasan Tadahan air Kuala Terla, di Cameron Highlands.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Pahang, Fuziah Salleh berkata, penyelesaian itu perlu menyeluruh bagi memastikan semua pihak berpuas hati dan insiden yang sama tidak berulang pada masa akan datang.

Menurutnya, kerajaan negeri juga perlu mengenal pasti tanah untuk di pajak dalam jangka masa panjang bagi membolehkan pekebun sayur terus bercucuk tanam seperti sebelum ini.

"Masalah ini boleh diselesaikan menerusi rundingan dan perbincangan secara baik oleh kerajaan dengan pekebun sayur. Kita yakin dengan cara (cari lot tanah pajakan pertanian) ini kerajaan negeri memperoleh semula kawasan tadahan air tersebut dan pekebun juga mendapat hak selayaknya. Ini yang kita panggil penyelesaian 'menang-menang'.

"Kalau boleh kita tidak mahu kaedah 'menang- kalah'. Kerajaan negeri mendapat balik kawasan tadahan air itu sedang pekebun sayur hilang segalanya.

"Tindakan sebegini tidak sepatutnya berlaku seolah-olah kerajaan negeri tidak prihatin dalam menyelesaikan masalah membabitkan pekebun sayur di Cameron Highlands," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Kelmarin, seramai 12 pemimpin termasuk pegawai khas Menteri Besar Pahang Arumugam AV Pillai meletak jawatan serta-merta ekoran kecewa dengan tindakan Kerajaan Negeri Pahang yang didakwa tidak mempedulikan nasib 60 pekebun kecil di Cameron Highlands.

Mereka mendakwa kerajaan Pahang enggan membela nasib golongan itu selepas mengarahkan kira-kira 60 pekebun kecil mengosongkan kawasan tanah haram di Kuala Terla yang sudah diusahakan sejak tiga hingga empat generasi.

Artikel Berkaitan:

Fuziah berkata, beliau maklum kawasan tersebut merupakan kawasan tadahan air namun adalah lebih berperikemanusiaan jika menunggu hasil kebun mereka dituai dahulu.

Tambahnya, pekebun berkenaan juga boleh dilatih menggunakan teknologi moden supaya dapat membantu meningkatkan pembangunan ekonomi.