Empat anggota polis edar air ketum di lokap akan ditahan kerja

Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, E Soon Kiat (kanan).
Muhamad Zaki (kiri) menyampaikan sijil penghargaan kepada Pegawai Risikan/Operasi Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Machang, E Soon Kiat (kanan).
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Empat anggota polis berpangkat koperal dan lans koperal yang disyaki terlibat mengedar air ketum serta daun tembakau di lokap mahkamah di sini akan diambil tindakan tahan kerja sementara siasatan kes dijalankan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, proses siasatan jenayah membabitkan bahan larangan tersebut akan selari dengan tindakan tatatertib di peringkat dalaman.

MUHAMAD ZAKI
MUHAMAD ZAKI

Menurut beliau, perkara itu selaras dengan perintah tetap Ketua Polis Negara nombor 191 (Penguatkuasaan Keseluruhan) dan arahan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri mengenai Peraturan 3C, Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

“Perintah reman tiga hari sudah selesai dan ketika ini dalam proses untuk tahan kerja ke atas anggota-anggota yang disyaki terlibat dengan kes ini.

“Tindakan tegas seterusnya akan diambil sekiranya mereka didapati bersalah selepas siasatan selesai,” katanya kepada pemberita selepas Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen di sini, pada Ahad.

Turut disampaikan sijil penghargaan kepada anggota-anggota yang cemerlang dan ahli-ahli Persatuan Keluarga Polis (Perkep).

Sebelum itu, akhbar melaporkan empat anggota unit pengiring polis daerah Kota Baru yang berusia antara 25 hingga 33 tahun tersebut ditahan oleh pasukan dari Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman sekitar jam 8.30 pagi, 29 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Pasukan JIPS turut merampas empat botol air ketum dan beberapa daun tembakau.

Dalam pada itu, Muhamad Zaki menegaskan supaya ketua-ketua jabatan di bawah pasukan keselamatan berkenaan terus melakukan pemantauan dan seliaan terhadap anggota bawahan masing-masing.

Beliau berkata, tidak mahu perkara memalukan sebegitu berulang dalam pasukan berkenaan.

“Ini sesuatu yang memalukan dan saya tekankan supaya penyeliaan polis Kelantan mestilah hebat.

“Ketua-ketua polis daerah serta ketua jabatan perlu mencari satu kaedah atau sistem yang sesuai dan terbaik untuk menyelia anggota bawahan,” ujarnya.

Untuk rekod, kata beliau, sebanyak 25 kes tatatertib disiasat atas pelbagai kesalahan termasuk pemerasan melibatkan anggota polis di kontinjen itu setakat November tahun ini.