Kemenangan mengejutkan Barcelona

Araujo - Foto AFP
Araujo - Foto AFP
A
A
A

BARCELONA boleh menarik nafas lega apabila meraih kemenangan berharga menerusi jaringan lewat permainan Ronald Araujo ketika membenam Real Sociedad 1-0 dalam saingan La Liga awal pagi Ahad.

Kemenangan itu membuatkan jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez bagai hilang kata-kata apabila menyifatkan bola sepak sebagai sesuatu yang mengejutkan dan sukar untuk digambarkan.

Selepas tewas pada saat akhir kepada Real Madrid dalam aksi Clasico minggu lalu, biarpun Barcelona bermain lebih baik, perkara sama berlaku kepada Real Sociedad apabila berdepan anak buah Xavi di San Sebastian.

“Ia amat menakjubkan. Bola sepak sukar untuk dijelaskan.

“Minggu lalu kami sepatutnya menang tetapi kalah, sekarang kami tidak layak menang, tetapi akhirnya menang,” katanya.

Araujo muncul wira Barcelona apabila meledak gol pada minit ke-92.

Dalam aksi itu, penjaga gol Sociedad, Marc-Andre Ter Stegen tangkas di gawang sebelum Araujo menanduk masuk hantaran Ilkay Gundogan ketika hanya beberapa saat berbaki.

Kemenangan itu melonjak Barcelona ke tangga ketiga La Liga, dua mata di depan Atletico Madrid, yang tewas pada Jumaat di Las Palmas, dan satu mata di belakang Real Madrid yang menghuni tangga kedua.

Artikel Berkaitan:

“Saya rasa Real Sociedad berhak mendapatkan keputusan lain.

“Mereka adalah pasukan yang hebat dan Imanol Alguacil merupakan seorang pengurus yang hebat,” ujar Xavi.