Sindiket seludup rokok guna setem palsu tumpas

Rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dalam operasi tersebut. - Foto: JKDNKA
Rokok seludup dan kenderaan yang dirampas dalam operasi tersebut. - Foto: JKDNKA
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan rokok yang menggunakan setem palsu susulan penahanan tiga lelaki dalam Operasi Asap di Tapah, Perak semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA), Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, bertindak atas maklumat orang awam, sepasukan anggota dari Cawangan Perisikan dan Siasatan Khas, Pasukan Gerakan Khas (PGK) JKDNKA menahan tiga lelaki tersebut yang merupakan seorang rakyat tempatan dan dua warganegara Bangladesh.

Menurutnya, menerusi tangkapan suspek berumur 26 hingga 47 tahun itu, pihaknya berjaya merampas sejumlah 25,840 karton rokok seludup terdiri daripada 24,700 karton rokok putih dan 1,140 karton rokok jenis kretek jenama 'concept'

"Turut dirampas, lima buah kenderaan yang terdiri daripada dua buah kereta jenis Honda Accord dan Mitsubishi Triton, dua buah lori jenis Isuzu dan Hicom serta sebuah motosikal jenis Honda EX5.

"Jumlah nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM4.3 juta.

"hasil semakan juga mendapati kesemua rokok seludup berkenaan menggunakan setem Kastam 'duty paid' yang disyaki adalah setem palsu," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama tujuh hari mulai 24 hingga 30 Disember 2019 bagi membantu siasatan lanjut mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan: