Negara jadi hebat melalui penerapan nilai murni institusi keluarga - PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pengunjung pada sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan bertemakan "Keluarga Harmoni, Negara Madani" di Dataran Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan pengunjung pada sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan bertemakan "Keluarga Harmoni, Negara Madani" di Dataran Putrajaya pada Sabtu. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sesebuah negara akan menjadi hebat melalui penerapan nilai murni yang dipupuk bermula dari institusi keluarga.

Ketika melancarkan Sambutan Bulan Keluarga Kebangsaan (BKK) 2023 di sini pada Sabtu Anwar berkata, penerapan nilai murni, menjadi asas kepada pembentukan masyarakat dan negara Madani.

"Negara Madani boleh dipupuk dan diangkat bermula dari institusi keluarga,” katanya.

Anwar berkata, penerapan itu yang bermula dari institusi keluarga, menjadikan masyarakat Malaysia terlatih untuk berkasih sayang dan bersifat rahmah.

"Dunia sekarang seperti mana dipaparkan saban hari tentang kekejaman dan keganasan di Gaza membuatkan kita tersentuh hati nurani, sebab kita dilatih untuk kenal apa itu ihsan, kasih sayang, rahmah dan erti kemanusiaan,” katanya.

Anwar berkata, penerapan nilai, akhlak dan kemanusiaan tidak boleh diabaikan, dalam usaha membina negara kerana tanpanya amalan kemungkaran, rasuah dan penyelewengan akan berleluasa.

"Kadang-kadang dalam membina negara nilai-nilai ini tidak sangat ditekankan, sebaliknya yang sering ditekankan ialah soal pembangunan, ekonomi dan pekerjaan.

"Itu petanda keruntuhan atau bibit-bibit permulaan keruntuhan sesebuah negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Anwar berkata, kejayaan pembinaan institusi keluarga turut menjadi penanda aras penilaian terhadap keupayaan kepimpinan seseorang pemimpin.

"Menteri juga dinilai dari sudut keupayaan, mengawal, mendidik, mengasuh dan mengasihi keluarga. Kalau keluarganya porak peranda maka sukar untuk membentuk masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyatakan penghargaannya terhadap komitmen Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, yang memperjuangkan kedudukan wanita serta kanak-kanak di negara ini.

"Kalau ini contoh yang ditunjukkan Nancy, saya percaya semangat keluarga harmoni dapat dipupuk, kerana pimpinan dalam KPWKM (Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) ada komitmen dan dedikasi yang sangat tinggi, hebat serta luar biasa,” katanya.

Sementara itu, Nancy berkata, Anugerah Khas Kasih Madani diperkenalkan sempena sambutan BKK2023 itu, sebagai pengiktirafan kepada majikan yang telah melaksanakan amalan dan polisi mesra keluarga di agensi atau syarikat masing-masing.

Sambutan BKK2023 yang bertemakan Keluarga Harmoni, Negara Madani anjuran KPWKM, merupakan platform bagi menghargai kepentingan institusi keluarga sebagai asas cerminan kepada masyarakat yang stabil dan sejahtera. - Bernama