Malaysia kutuk serangan kejam ke atas kem Jabalia di Gaza

Orang awam mencari mangsa yang masih hidup dalam bangunan diserang Israel di Gaza. - Foto Xinhua
Orang awam mencari mangsa yang masih hidup dalam bangunan diserang Israel di Gaza. - Foto Xinhua
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia mengutuk dengan keras tindakan tidak berperikemanusiaan rejim Israel menyerang kem Kem Pelarian Jabalia, kem pelarian terbesar di Gaza.

Kejadian itu pada Rabu (1 November) telah membunuh beratus orang dan mencederakan lebih banyak lagi nyawa yang tidak berdosa, termasuk wanita dan kanak-kanak.

Ini adalah jenayah terhadap kemanusiaan yang dilakukan oleh rejim yang telah lama melanggar dan mengabaikan undang-undang antarabangsa serta menolak banyak resolusi Majlis Keselamatan PBB, kata kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Malaysia (Wisma Putra) pada lewat Jumaat.

"Tempat yang sepatutnya memberi perlindungan dan bantuan kini menjadi kubur nyawa yang tidak berdosa.

Serangan yang disengajakan sebelum matahari terbenam mencerminkan perbuatan kejam untuk membunuh, melukai, dan menyakitkan sebanyak mungkin orang Palestin, tanpa mengira umur atau jantina," kata kenyataan itu.

Malaysia sekali lagi menggesa komuniti antarabangsa, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, dan khususnya Majlis Keselamatan PBB untuk menuntut rejim Israel menghentikan tindakan keji dan tidak berperikemanusiaan seperti ini oleh Israel serta tindakannya mengetatkan dasar apartheid terhadap rakyat Palestin.

Malaysia terus berpegang teguh pada pendiriannya bahawa rakyat Palestin berhak mendirikan negara mereka sendiri yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan-sempadan sebelum tahun 1967, dengan Jerusalem Timur sebagai ibu kotanya.

Lebih daripada 9,000 orang awam Palestin terbunuh dalam pencerobohan Israel sejak konflik bermula pada 7 Oktober, termasuk kira-kira 200 yang meninggal dalam insiden serangan udara di kem pelarian Jabalia. Lebih daripada 32,000 orang lain cedera, dan lebih daripada 2,000 orang masih hilang sejak konflik bermula. - Bernama

Artikel Berkaitan: