Young Tigers dapat tonik menjelang Piala Dunia Remaja

Pemain Young Tigers, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar dicabar pemain Afrika Selatan Thabang Jeyi dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan SOJC 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, pada Jumaat. - Foto Bernama
Pemain Young Tigers, Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar dicabar pemain Afrika Selatan Thabang Jeyi dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan SOJC 2023 di Stadium Hoki Taman Daya, pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

SKUAD hoki remaja negara menutup kempen Kejohanan Hoki Bawah 21 tahun (B-21) Piala Sultan Johor (SOJC) 2023 dengan kemenangan selepas menewaskan Afrika Selatan 3-2 dalam perlawanan penentuan tempat ketujuh dan kelapan.

Pada aksi di Stadium Hoki Taman Daya, Jumaat, The Young Tigers terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pembukaan Afrika Selatan menerusi gol padang dijaringkan Viwe Mbata pada minit ke-10.

Anak buah Muhamad Amin Rahim tidak menunggu lama untuk bangkit menyamakan kedudukan dua minit kemudian hasil gol padang Che Nur Aqilrullah Che Mohd Khairulzi Anwar untuk kedudukan 1-1 separuh masa pertama.

Bersambung suku ketiga, The Young Tigers merobek gawang Afrika Selatan pada minit ke-39 menerusi gol padang Mohammad Harris Iskandar Osman.

Biarpun begitu kelebihan itu tidak bertahan lama apabila Cameron Le Forestier kembali mengikat kedudukan untuk pasukan Afrika Selatan.

Mughni Mohamad Kamal muncul wira pasukan negara apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-56 menerusi gol padang sekali gus membolehkan The Young Tigers menamatkan kempen SOJC 2023 di tempat ketujuh.

Keputusan itu menyaksikan Malaysia memperbaiki pencapaian edisi lalu apabila menamatkan kempen SOJC 2022 di tangga tercorot.

Sementara itu, Muhamad Amin mengakui pemain-pemainnya telah memberi persembahan terbaik.

Artikel Berkaitan:

“Secara keseluruhan semua pemain telah memberi persembahan terbaik dan boleh nampak kemenangan yang kita nantikan untuk kejohanan ini telah dijelmakan.

“Saya kena bagi pujian dan kredit kepada pemain, dengan kesungguhan dan keinginan mereka untuk turun mencatat kemenangan pada perlawanan ini. Jadi saya rasa banyak benda yang telah kita pelajari untuk kempen kali ini dan benda ini akan menjadi bekal untuk para pemain bagi persiapan menjelang Piala Dunia Remaja nanti.

“Apa yang akan kita lakukan selepas ini, kita kena kenal pasti segala kelemahan-kelemahan yang telah kita dilakukan dan cuba perbaiki kesilapan-kesilapan dan menambah baik setiap kekuatan yang telah dilakukan pada kejohanan ini,” katanya selepas perlawanan.

Young Tigers selepas ini akan memberi tumpuan kepada persiapan menghadapi Piala Dunia Remaja 2023 di Kuala Lumpur pada 5 hingga 16 Disember depan.