JDT dalam kelas tersendiri

Arif Aiman (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang lawan untuk gol pertama JDT ketika menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis. - Foto Bernama.
Arif Aiman (kiri) melakukan percubaan ke arah gawang lawan untuk gol pertama JDT ketika menentang Perak di Stadium Sultan Ibrahim, pada Khamis. - Foto Bernama.
A
A
A

PENYANDANG juara Johor Darul Ta’zim (JDT) disifatkan dalam kelas tersendiri apabila mara ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menyingkirkan Perak FC dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada Khamis.

Malah, pengendali JDT, Esteban Solari memuji persembahan pemain-pemain yang sentiasa memberikan komitmen 100 peratus sepanjang permainan sebagai satu pasukan.

“Ya, kami konsisten dan baik sepanjang 90 minit permainan apabila tidak pernah menganggap menentang Perak satu perlawanan mudah. Cuma saya agak kecewa apabila pasukan lawan berjaya menjaringkan gol pada minit akhir.

“Apa pun kami beraksi dengan baik sebaik wisel permulaan dengan memberikan tekanan, tidak menyerah kalah, sentiasa berlari, menyerang dan tidak hilang bola dengan sewenang-wenangnya.

“Namun masih terdapat kelemahan yang perlu kami perbaiki terutamanya dari segi set pieces,” katanya selepas perlawanan.

JDT sebelum itu melangkah ke pentas final Piala Malaysia ke keempat berturut-turut setelah berpesta gol menewaskan Perak FC 8-1 dalam perlawanan separuh akhir kedua.

Gol Harimau Selatan dijelmakan Arif Aiman Hanapi (m-12), Bergson Da Silva (m-27, m-60), Heberty Fernandes (m-31, m-90' 1), Fernando Forestieri (m-52), Syafiq Ahmad (m-62, m-77) manakala jaringan saguhati Perak dihasilkan Firdaus Fuad (m-90 2).

Keputusan itu menyaksikan JDT mara ke perlawanan akhir dengan kemenangan agregat 12-2 selepas menang 4-1 pada aksi separuh akhir pertama di Ipoh, 19 Oktober lalu.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!