Lapor jika ada salah guna jentera kerajaan semasa kempen - Azalina

Azalina - Foto Bernama
Azalina - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak disarankan membuat laporan kepada mana-mana jabatan atau agensi yang berkaitan jika wujud penyalahgunaan jentera kerajaan semasa kempen pilihan raya berlangsung.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said mengakui, isu itu kerap dibangkitkan terhadap anggota pentadbiran oleh mana-mana kerajaan.

Justeru, beliau meminta laporan dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Sekiranya mana-mana pihak didapati melakukan kesalahan sepanjang tempoh sebelum atau selepas pilihan raya, sila laporkan.

"Laporan yang dibuat akan membolehkan tindakan dan siasatan segera diambil oleh jabatan atau agensi tersebut.

“Bagi tujuan ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memerlukan kerjasama menyeluruh daripada setiap parti politik, jabatan, agensi, badan bukan kerajaan dan pihak lain yang berkaitan bagi memastikan urusan kempen pilihan raya dapat dilaksanakan secara lancar dan teratur,” katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohd Syahir Che Sulaiman (PN-Bachok) yang mahu kerajaan menyatakan pendirian untuk menghalang penyalahgunaan jentera kerajaan termasuklah penggunaan premis sekolah, kenderaan rasmi dan helikopter dalam tempoh sebelum dan semasa kempen pilihan raya sedang berlangsung, sebagaimana teguran oleh pihak Bersih.

Bagaimanapun, Azalina menjelaskan, sebagaimana diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan dan perundangan yang lain berkaitan, anggota pentadbiran mempunyai tanggungjawab untuk menjalankan tugas yang diamanahkan kepada mereka pada setiap masa termasuk semasa pilihan raya diadakan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga sentiasa memberi perhatian terhadap semua maklum balas yang diberikan oleh mana-mana pihak.

“Bukan sahaja sewaktu musim pilihan raya, tetap juga pada sepanjang masa supaya tata kelola dan tanggungjawab pada peringkat kementerian dan jabatan dilaksanakan dengan sewajarnya,” ujarnya.