i-MerchantRAKYAT beri kemudahan untuk usahawan PMKS

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

BANK Rakyat kini memperkenalkan aplikasi i-MerchantRAKYAT yang dilengkapi dengan QR DuitNow sebagai kemudahan khusus untuk usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta koperasi bagi membolehkan penerimaan bayaran melalui kod QR bermula pada 31 Oktober 2023.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, aplikasi itu disediakan khususnya bagi pemilik tunggal perniagaan atau organisasi yang mempunyai akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) Bank Rakyat yang aktif bagi memantapkan pengurusan perniagaan dan kewangan agar lebih efisien.

“Kelebihan aplikasi i-MerchantRAKYAT ini bukan sahaja dapat menjimatkan masa, mesra pelanggan dan boleh digunakan di mana-mana sahaja, malah mampu meningkatkan produktiviti perniagaan sekali gus mengurangkan risiko kehilangan tunai oleh usahawan.

“Kemudahan aplikasi ini juga mampu memberi alternatif pengurusan perniagaan yang lebih sistematik dan tanpa kertas seperti e-penyata dan laporan transaksi dalam talian. Penyata yang dijana menerusi i-MerchantRAKYAT boleh digunakan untuk permohonan pembiayaan dan geran perniagaan bagi membantu memperkembangkan perniagaan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, peningkatan terhadap penggunaan kemudahan e-bayaran dalam kalangan masyarakat juga menjadi salah satu faktor pendorong Bank Rakyat untuk merealisasikan inisiatif ini kepada PMKS.

“Pengenalan perbankan digital baharu ini amat bersesuaian dengan kehendak situasi pada masa kini serta penerapan norma baharu apabila segalanya di hujung jari pelanggan. Seiring dengan era digitalisasi, Bank Rakyat sentiasa progresif dalam memanfaatkan teknologi bagi memastikan kita terus kekal relevan dan lestari,” kata Mohammad Hanis.

Beliau berkata, inisiatif itu dikatakan selaras dengan aspirasi Rangka Tindakan Digitalisasi dan Pengalaman Pelanggan Terbaik yang terkandung dalam pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).

Usahawan yang berminat untuk membuat permohonan pendaftaran i-MerchantRAKYAT, mereka perlu membuka akaun Semasa-i Elektronik (eCA-i) di cawangan berdekatan, pusat perbankan perniagaan atau platform QR2E, kemudian memuat turun aplikasi tersebut di platform Apple App Store (IOS 11.0 dan ke atas) atau Google Play Store (Android 9.0 dan ke atas).

Artikel Berkaitan: