Pembinaan karakter murid jadi keutamaan KPM

Pkharuddin pada program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan di sini pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
Pkharuddin pada program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan di sini pada Jumaat. - FOTO SINAR HARIAN/ ROSLI TALIB
A
A
A

PUTRAJAYA - Pembinaan karakter, nilai dan sahsiah seseorang murid menjadi keutamaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan golongan tersebut mampu mengharungi cabaran besar di masa akan datang.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali menegaskan, kementerian berusaha menyediakan Kurikulum Persekolahan 2027 yang akan memasukkan elemen tersebut selaras dengan maklum balas diterima oleh KPM menerusi tinjauan dan libat urus dijalankan.

"Kurikurulum kita sudah mencapai tempoh matang dan kementerian sedang menganalisis pandangan.

"Dapatan awal adalah masyarakat inginkan nilai itu menjadi keutamaan anak-anak kita," katanya ketika ditemui pemberita selepas program Bicara Inspirasi Ketua Pengarah Pendidikan di sini pada Jumaat.

Meskipun begitu, beliau berkata, pihaknya tidak menyatakan bahawa sesebuah peperiksaan bukan tidak baik dalam membentuk kemenjadian murid.

"Dengan cabaran semasa yang mana gajet berada di tangan murid membolehkan mereka belajar dengan cepat tetapi nilai itu tiada dalam diri mereka," katanya.

Menurutnya, perkara itu boleh dilihat menerusi situasi dunia kanak-kanak sekarang yang tidak berada dalam masyarakat.

"Mereka berada dalam dunia sendiri dengan gajet yang mengajar pelbagai perkara," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian mengulas mengenai langkah Sarawak yang bakal memperkenalkan sistem penilaian tersendiri iaitu peperiksaan khas untuk seluruh pelajar tahun enam di semua sekolah kerajaan di negeri tersebut.

Ia bagi menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan kementerian pada tahun 2021 dan digantikan dengan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) selain memperkenalkan Ujian Pentaksiran Kemasukan Sekolah Khusus (PKSK) bagi kemasukan ke sekolah khusus dan berasrama.

Mengulas lanjut, Pkharuddin berkata, selepas tiga tahun pemansuhan UPSR, kementerian mendapati kadar murid untuk meninggalkan sekolah berasrama penuh menurun dengan jelas.

"Ia bermaksud mereka sesuai berada di asrama apabila kita guna kaedah PKSK," katanya.

Sementara itu beliau berkata, konsep Anak Yang Baik lagi Cerdik (ABC) diperkenalkan KPM bagi mendidik modal insan berilmu dan berakhlak mulia dengan penerapan aktiviti kokurikulum berjaya memberi keyakinan kepada pelajar.

“Contoh tahun ini kita anjurkan kejohanan Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM) dengan tema Sukan Nadi ABC, jadi terjemahannya ialah anak-anak bersukan, bertanding dengan satu disiplin yang tinggi, mereka jaga kebersihan kawasan pertandingan dan juga bersihkan asrama penginapan.

“Kita dah tengok contoh negara maju lain yang kita kagumi sifat masyarakat mereka yang menjaga kebersihan, jaga alam sekitar.

"Itu perlu kita contohi, kalau kita idamkan sebegitu untuk Malaysia kita perlu usahakan hari ini,” katanya.

UPSR mula diperkenalkan pada 1988 dengan tujuan asas pada ketika itu adalah 4M iaitu membaca, menulis, mengira dan menaakul manakala PT3 dilaksanakan sejak 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).