Mampu tangani cabaran, krisis keterjaminan makanan

Peladang, penternak, nelayan tunjang kestabilan Malaysia Madani

A
A
A

No Image Caption

KEBERKESANAN dasar-dasar serta program-program kerajaan persekutuan dalam membangunkan infrastruktur fizikal serta sosioekonomi rakyat Malaysia dilihat telah memberi kesan yang positif kepada pertumbuhan populasi negara yang dijangkakan akan mengalami pertambahan sebanyak 33.4 juta orang pada tahun ini.

Berdasarkan perangkaan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 31 Julai 2023, jangkaan jumlah populasi penduduk negara itu merupakan pertambahan pada kadar 2.1 peratus berbanding 32.7 juta orang pada tahun 2022. Malah, secara relatifnya populasi penduduk negara dijangka akan terus mengalami pertambahan pada kadar 0.2 peratus setahun.

Secara umumnya, pertambahan populasi penduduk seringkali dilihat berkait rapat dengan permintaan bekalan makanan. Pendek kata, semakin ramai penduduk, maka semakin tinggilah permintaan makanan dalam sesebuah negara.

Jangkaan ini bagaimanapun sentiasa menjadi perhatian utama dalam ‘radar’ kerajaan persekutuan khususnya Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) melalui agensinya Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP). Hari ini, perhatian tersebut berjaya diterjemah dan disemarakkan lagi di bawah kerangka dasar dan kepimpinan Malaysia Madani.

Usaha murni ini dapat diteliti melalui peranan aktif telah dimainkan oleh LPP yang terus menerus mencari alternatif bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan yang mencukupi dalam negara sekaligus menangani cabaran masa depan, mengangkat martabat serta memperkasakan peranan golongan peladang, penternak dan nelayan dalam sektor agromakanan negara.

Strategi menghadapi cabaran keterjaminan makanan

No Image Caption



Kesungguhan LPP dalam menangani cabaran keterjaminan makanan serta memperkasakan para peladang, penternak dan nelayan tempatan dijelaskan Ketua Pengarahnya, Datuk Azulita Salim yang menyifatkan golongan tersebut memainkan peranan besar kepada kestabilan negara.

“Sesungguhnya golongan peladang, penternak dan nelayan adalah komuniti yang sepatutnya dibela kerana mereka adalah rakyat Malaysia Madani yang berkorban dan berjuang demi memastikan kestabilan negara dalam erti kata ketersediaan bekalan makanan yang mencukupi, selamat dan bernutrisi.

“Golongan ini adalah wira tidak didendang dan merupakan harapan negara dalam `Keterjaminan Makanan Untuk Masa Depan’,” ujarnya.

Tambah Azulita, kerajaan persekutuan khususnya LPP telah pun menggaris serta melaksanakan pelbagai inisiatif antaranya melaksanakan reformasi pemodenan sektor pertanian berkonsep pintar sebagai 'game changer’ di bawah Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) yang memfokuskan pendekatan berasaskan teknologi moden dan pembangunan mampan selari dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0) seterusnya memenuhi Matlamat Pembangunan Mampan (SDGs) 2030.

No Image Caption

Inisiatif itu katanya ditambah lagi dengan peningkatan pembiayaan awam dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) selain pembangunan inovasi pertanian dengan penyertaan proaktif institusi pengajian awam dan sektor swasta.

Malah, reformasi sektor pertanian dan agromakanan negara ini turut mengambil kira kesan perubahan iklim global serta gangguan dalam rantaian bekalan makanan global kesan daripada perang Ukraine-Russia. Usaha ini bagi memastikan sektor agromakanan serta golongan peladang, penternak dan nelayan tempatan terus kekal relevan serta berdaya saing di samping mengurangkan penggantungan negara terhadap import bahan makanan.

Jelasnya lagi, komitmen kerajaan persekutuan ini turut diperkukuhkan dengan penyediaan peruntukan besar sebanyak RM5.39 bilion bagi tahun 2023 berbanding RM4.81 bilion pada tahun sebelumnya. Pertambahan peruntukan pada kadar 12.06 peratus ini adalah untuk memastikan kerangka pelaksanaan DAN 2.0 dan Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negara 2021-2025 dapat dicapai sepenuhnya merangkumi empat dimensi iaitu ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan.

Selain itu, reformasi pemodenan sektor pertanian dan agromakanan turut melibatkan penggalakan penyertaan lebih ramai golongan belia sebagai agenda utama KPKM di samping mengadaptasi teknologi moden, inovasi serta R&D sektor pertanian.

No Image Caption

Penglibatan golongan belia ini merupakan satu perkara kritikal bagi memastikan kelestarian sektor pertanian dan makanan negara sekaligus menangani pergantungan tenaga kerja asing selain isu ‘ageing farmers’.

“Sektor agromakanan menyediakan peluang serta prospek perniagaan yang luas bagi golongan belia. Dengan lebih ramai penglibatan golongan belia, membantu meningkatkan keterjaminan makanan serta menstabilkan harga bekalan yang boleh dimanfaatkan kepada seluruh rakyat,’ jelas Azulita.

Bagi menangani cabaran kos sara-hidup khususnya bahan asas makanan yang semakin meningkat, Lembaga Pertubuhan Peladang melalui kesemua Pertubuhan Peladang di bawahnya telah melaksanakan program-program bagi memendekkan rangkaian pasaran pukal dan runcit dari ladang kepada pengguna. Ini termasuk mewujudkan `Peladang Outlet’, `Pasar Peladang’ Jualan Agro-Madani dan lain-lain pendekatan rangkaian pasaran yang telah diwujudkan di seluruh negara secara harian, mingguan atau bulanan.

Pemerkasaan Peladang, Penternak dan Nelayan

No Image Caption



Cabaran keterjaminan makanan turut diperkukuhkan dengan pelaksanaan 10 Teras Strategi dalam Pelan Korporat Ke-7 (2021-2025) yang digariskan oleh LPP yang menyaksikan golongan peladang, penternak dan nelayan berjaya diperkasakan dari segi rantaian pengeluaran, bekalan dan pemasaran.

Teras strategi LPP ini bakal melibatkan pembukaan 50 Peladang Outlet (PO) di samping penggunaan aplikasi pembayaran tanpa tunai (cashless) secara meluas menerusi sistem jualan secara dalam talian (online) yang mampu meningkatkan pendapatan peladang, penternak dan nelayan.

Selain itu, peladang, penternak dan nelayan juga bersama-sama institusi Pertubuhan Peladang (PP) secara aktif menerapkan aspek digitaliasi seperti ‘Internet of Things” (IoT) dalam projek-projek pertanian dan agromakanan selari dengan IR4.0.

Secara keseluruhannya, usaha kerajaan persekutuan di bawah kerangka dasar kepimpinan Malaysia Madani telah memberi perhatian khusus kepada pengukuhan serta pemerkasaan golongan peladang, penternak dan nelayan.

No Image Caption

LPP yang genap 50 tahun usia penubuhannya jelas berjaya menjadi peneraju unggul meliputi 295 institusi Pertubuhan Peladang dengan keahlian berjumlah 965,195 orang di seluruh negara sekaligus meletakkan pergerakan PP sebagai institusi yang kukuh dalam memberi manfaat kepada golongan masyarakat peladang.

Justeru, Sambutan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan Ke-48 kali ini merupakan kesinambungan manifestasi penghargaan ke atas jasa serta peranan besar golongan peladang, penternak dan nelayan dalam membentuk hala tuju negara sejak era Bapa Pembangunan Negara, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein memulakan sambutan ini pada tahun 1975.

Ibarat tunjang, golongan peladang, penternak dan nelayan akan terus kekal sebagai elemen terpenting kepada rakyat dan negara dan terus mampu menghadapi cabaran dan perubahan masa.