POPIC 2023: Amaran awal Kent Jenkinson

Jenkinson (tengah) mengungguli kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki POPIC 2023 di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.
Jenkinson (tengah) mengungguli kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki POPIC 2023 di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.
A
A
A

KENT Jenkinson membuktikan sudah cukup bersedia memburu kejuaraan keseluruhan pada Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023 apabila muncul juara kategori terbuka antarabangsa SS1 lelaki di Pantai Rantau Panjang, Rompin pada Jumaat.

Pendayung dari New Zealand yang juga naib juara keseluruhan edisi tahun lalu, menamatkan saingan sejauh 14 kilometer dengan catatan masa 58 minit 42 saat, diikuti dua pendayung adik beradik dari Australia Harry dan Charlie Hewitt di tempat kedua dan ketiga masing -masing mencatatkan masa satu jam 02:04s dan 1 jam 04:05s.

“Ia tetap satu perlumbaan yang mencabar walaupun tanpa kehadiran juara bertahan tahun lalu David Mocke.

“Perlumbaan secara berperingkat sebegini tetap memerlukan tenaga yang banyak dan konsisten.

"Saya perlu berhati-hati dengan pencabar saya," katanya yang membawa pulang RM1,500 selaku juara peringkat pertama.

Tambahnya, saingan hari kedua dan ketiga pasti lebih menarik dan beliau perlu berhati-hati dengan kelibat Harry dan Charlie yang lebih muda agar tidak terjerat dengan strategi dua beradik tersebut.

“Saya perlu lebih fokus untuk kekalkan momentum kerana kelebihan masa kurang tiga minit belum memberi jaminan sepenuhnya, saingan masih terbuka apa apa boleh berlaku,” katanya.

Dalam saingan terbuka antarabangsa SS1 wanita pula, trio pendayung dari Australia diketuai Peige Wood muncul juara peringkat pertama selepas berjaya menamatkan perlumbaan 14km dengan catatan masa satu jam 08 minit:37.42s.

Ia diikuti Selma Jade Alibegovic (1 jam:10:13.24s) di tempat kedua, manakala Amanda Bowman di tempat ketiga (1 jam: 11:06.15s).

Artikel Berkaitan:

“Ini kali pertama saya beraksi di Malaysia dan memang agak mencabar dengan keadaan cuaca yang panas dan ombak yang tinggi di garisan permulaan.

“Saya perlu lebih konsisten untuk baki perlumbaan dan cabaran pesaing antarabangsa yang lain. Pendayung tempatan juga cukup baik dalam membina momentum. Saya teruja untuk saingan peringkat kedua esok (Sabtu),” ujar Peige.

Selepas Pantai Rantau Panjang, perlumbaan POPIC membabitkan 150 peserta dari dalam dan luar negara akan melalui saingan peringkat kedua di Pantai Lagenda, Pekan dan peringkat ketiga serta terakhir di Pantai Teluk Chempedak, Kuantan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!