Khairul Naim ungguli POPIC 2023

Khairul Naim (berdiri, lima dari kiri) muncul juara keseluruhan kategori nasional lelaki POPIC 2023 di Kuantan pada Ahad.
Khairul Naim (berdiri, lima dari kiri) muncul juara keseluruhan kategori nasional lelaki POPIC 2023 di Kuantan pada Ahad.
A
A
A

PENDAYUNG Persatuan Sukan Kanu Pahang (PSKP), Khairul Naim Zainal ditabalkan selaku juara keseluruhan kategori Kebangsaan SS1 lelaki Pahang Ocean Paddle International Challenge (POPIC) 2023.

Sekalipun menduduki tempat kedua pada saingan Peringkat 3 di Pantai Teluk Cempedak, Kuantan pada Ahad, kedudukan itu masih belum mampu 'menyingkirkan' Khairul Naim daripada menyambar status selaku sang juara pada edisi kali ini.

Ia susulan kejayaan anak jati kelahiran Kuantan, Pahang itu yang menjuarai Peringkat 1 di Pantai Rantau Panjang, Rompin dan Peringkat 2 di Pantai Lagenda, Pekan, sekali gus berjaya menjarakkan catatan masa dengan barisan pencabarnya.

“Syukur Alhamdulillah apabila saya dapat muncul juara keseluruhan kategori Kebangsaan SS1 lelaki walaupun pada pusingan akhir hari ini (Ahad), saya menduduki tempat kedua. Saya anggap ini juga satu rezeki.

“Memang saya sedar Montoya (Raw) akan memberikan saingan sengit pada perlumbaan terakhir ini. Tetapi saya cuba untuk tidak terlalu memberikan Montoya jarak yang jauh, sebaliknya cuba merapatkan diri dengannya.

“Ternyata strategi yang saya lakukan itu menjadi. Saya gembira dan berpuas hati dengan keseluruhan prestasi hari ini (Ahad),” katanya yang membawa pulang ganjaran wang tunai RM2,000 selaku juara keseluruhan.

Pada Peringkat 3 sejauh 20.53 kilometer (km) itu, Khairul Naim merekodkan catatan 1 jam 57 minit dan 37.96 saat (s) - ketinggalan di belakang Montoya (1:18:39.18s), manakala Mirza Adli Shaharaziz di tangga ketiga (2:02:39.39s).

Sementara itu, Montoya gembira apabila dapat menunaikan janjinya untuk bangkit memburu kemenangan pada Peringkat 3 yang juga pusingan terakhir POPIC 2023, seterusnya mengesahkan status sebagai naib juara keseluruhan.

Artikel Berkaitan:

“Seperti mana yang saya katakan semalam (Sabtu), saya akan cuba habis-habisan memburu podium utama pada pusingan akhir. Saya yakin memang saya mampu melakukannya selepas apa yang berlaku pada Peringkat 2.

“Saya agak kecewa kerana menghadapi beberapa masalah pada Peringkat 2 sehingga terpaksa berpuas hati meraih tempat kedua. Tetapi kemenangan ini sedikit sebanyak menebus kekecewaan saya semalam (Sabtu),” jelasnya.

Dalam pada itu, wakil Johor, Nur Atasha Nabila Saring terlalu unggul apabila muncul juara keseluruhan kategori Kebangsaan SS1 wanita selepas merekodkan kemenangan hatrik dengan menjuarai tiga peringkat berturut-turut.

Dengan catatan masa 2:10:43.30s pada Peringkat 3, Nur Atasha meninggalkan dua pencabar terdekatnya dari Johor, Nor Ismalina Isnadi dan Nor Amirah Nabila Amir yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga keseluruhan.

Juara keseluruhan kategori TK2 lelaki menjadi milik gandingan Johor, Ahmad Ariff Rasydan-Muhd Shahrin Haziq Mohd Shahbiree, diikuti wakil Pahang, Nik Afiq Nik Mazli-Muhammad Azri Iskandar Muhamad Azrul dan Mohd Azlan Ibrahim- Muhammad Azman Ibrahim.

Gandingan RMP Paddlers, Nor Azita Ibrahim-Nursaibah Syahida Ibrahim pula muncul juara keseluruhan kategori TK2 wanita, diikuti wakil UPSI, Dayang Nur Hanisah Awang Ali-Siti Aisyah Norazhar dan wakil Viking UTM, Nur Dayana Saffiyah Mohd Nazri-Shini Abdullah.

Bagi kategori Inter Varsiti sejauh 6km, wakil Politeknik, Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal-Muhammad Ridzuan Abdul Aziz dinobatkan selaku juara keseluruhan lelaki, manakala Rabiahtul Saba Adawiyah Rasidi-Nur Aina Natash Riduan (UNISZA) mengungguli saingan wanita.

JUARA KESELURUHAN POPIC 2023 KATEGORI KEBANGSAAN

* Kebangsaan SS1 (lelaki dan wanita)

1. Khairul Naim Zainal (PSKP) - 4:21:575s

2. Montoya Raw (Johor) - 4:23:02s

3. Mirza Adli Shaharaziz (Johor) - 4:33:06s

1. Nur Atasha Nabila Saring (Johor) - 4:49:46s

2. Nor Ismalina Isnadi (Selangor) - 6:31:42s

3. Nor Amirah Nabila Amir (Selango) - 6:34:29s

* Terbuka Malaysia TK2 (lelaki dan wanita)

1. Ahmad Ariff Rasydan-Muhd Shahrin Haziq Mohd Shahbiree (Johor) - 3:55:38s

2. Nik Afiq Nik Mazli-Muhammad Azri Iskandar Muhamad Azrul (Pahang) - 4:01:13s

3. Mohd Azlan Ibrahim- Muhammad Azman Ibrahim (PSKP) - 4:02:51s

1. Nor Azita Ibrahim-Nursaibah Syahida Ibrahim (RMP Paddlers) - 4:28:41s

2. Dayang Nur Hanisah Awang Ali-Siti Aisyah Norazhar (UPSI) - 4:31:46s

3. Nur Dayana Saffiyah Mohd Nazri-Shini Abdullah (Viking UITM) - 5:56:25s

* Inter Varsity (lelaki dan wanita)

1. Muhammad Bahij Rabbani Mohamad Rizal-Muhammad Ridzuan Abdul Aziz (Politeknik) - 2:02:35s

2. Muhammad Nur Rahman Abdullah-Ahmad Amir Khan Zainalabadin Khan ((Politeknik) - 2:11:20s