Remaja hilang ditemukan mati dalam parit

Mayat Muhammad Adib ditemui dalam keadaan tersembam di sebuah parit dengan beberapa kesan luka.
Mayat Muhammad Adib ditemui dalam keadaan tersembam di sebuah parit dengan beberapa kesan luka.
A
A
A

PASIR SALAK - Kehilangan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun terjawab apabila ditemui meninggal dunia dalam keadaan tersembam dengan beberapa kesan luka di sebuah parit di Ladang Tualang Tumbuh Mukim Pulau Tiga, Kampung Gajah, lewat malam tadi.

Mangsa, Muhammad Adib Muhammad Sham, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Iskandar ditemui penduduk kampung sekitar jam 11.50 malam selepas hampir enam jam meninggal dunia.

Mangsa sebelum itu gagal dikesan ahli keluarga dan rakan yang hanya menemui beg silang dan motosikal digunakan di tepi jalan berhampiran parit berkenaan.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian, mangsa keluar dari rumah menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda untuk aktiviti memancing bersama dua rakannya sekitar jam 4 petang.

Bagaimanapun menurutnya, sehingga jam 7 petang, mangsa tidak juga tiba menyebabkan dua rakannya itu bergerak pulang.

"Ketika melalui lokasi kejadian, kedua-dua remaja itu ternampak motosikal milik mangsa dan menemui beg silang diletakkan dalam raga juga sebelah selipar tidak jauh dari kawasan itu.

"Mereka cuba mencari mangsa, namun gagal kerana keadaan telah gelap, lalu mereka menolak motosikal itu pulang ke rumah dan memaklumkan kejadian kepada ahli keluarga," katanya.

Beliau berkata, berdasarkan keadaan kerosakan motosikal yang mempunyai kesan calar dan seretan, mangsa didapati terbabas sendiri ketika melalui jalan itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, mangsa kemudian cuba turun ke tebing parit kemungkinan untuk mencuci luka, namun hilang imbangan sebelum tersembam.

"Keadaan parit ketika itu dipenuhi air sedalam hampir tiga kaki, mangsa dipercayai meninggal dunia sekitar enam jam sebelum dijumpai, terdapat kesan luka di dahi dan calar balar pada tangan kiri juga lutut kiri dan kanan," katanya.

Barudin berkata, laporan bedah siasat mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat lemas, terdapat kandungan air yang banyak dalam paru-paru mangsa.

"Setakat ini tiada kaitan dengan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut," katanya.