Muhammad Syazirol, Li Jane juarai Kejohanan Boling Kebangsaan ke-45

Atlet bowling negara Muhammad Syazirol Shamsudin dan Sin Li Jane menunjukkan piala kejuaraan yang dimenangi mereka pada Masters Terbuka Lelaki dan Wanita Kejohanan Boling Kebangsaan ke-45 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway malam Khamis. - Foto Bernama
Atlet bowling negara Muhammad Syazirol Shamsudin dan Sin Li Jane menunjukkan piala kejuaraan yang dimenangi mereka pada Masters Terbuka Lelaki dan Wanita Kejohanan Boling Kebangsaan ke-45 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway malam Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PEMAIN boling negara, Muhammad Syazirol Shamsudin dan Sin Li Jane masing-masing melakar sejarah tersendiri selepas menjuarai saingan Masters Terbuka Lelaki dan Wanita pada Kejohanan Boling Kebangaaan ke-45 di Sunway Mega Lanes, Bandar Sunway di sini, malam Khamis.

Kejayaan itu menyaksikan Muhammad Syazirol merangkul gelaran sulung sementara Li Jane menambah koleksi kejuaraan buat kali keempat selepas sembilan tahun melakukannya pada 2010, 2012 dan 2014.

Dalam saingan 'step-ladder' kategori lelaki, Muhammad Syazirol yang mewakili skuad Podium Majlis Sukan Negara (MSN), ditentang sengit rakan sepasukan, Timmy Tan sebelum dinobatkan sebagai juara dengan keputusan 237-225 pada aksi penentuan.

"Kejayaan ini amat berharga untuk saya sebab ia tidak datang dengan mudah, saya anggap ini sebagai permulaan saya untuk teruskan prestasi saya bagi tahun depan dan mungkin saki baki kejohanan pada hujung tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas tamat saingan, di sini.

Terdahulu, atlet kelahiran Kedah berusia 23 tahun itu muncul pendahulu Masters Terbuka Lelaki dengan melakar 244, 204, 208, 237, 227, 241, 212 dan 225 untuk mengumpul 1,798 jatuhan pin, sekali gus menjadi pemain pilihan pertama acara 'step-ladder'.

Sementara itu, dalam kategori wanita, Li Jane yang turut mewakili skuad Podium MSN menepati ramalan menundukkan rakan sepasukan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman 196-180 pada aksi penentuan ‘step ladder’.

Li Jane, yang muncul naib juara individu wanita pada Kejohanan Dunia di Kuwait awal bulan lepas, mara ke perlawanan akhir selepas muncul pendahulu Masters Terbuka wanita dengan mengumpul keseluruhan 1,791 jatuhan pin.

"Memang puas hati untuk hari ini, bagi saya, saya tidak memikirkan sangat tentang markah dan perkara lain, saya hanya mahu beraksi dengan baik, saya berharap selagi saya masih bermain saya mahu mengumpul seberapa banyak gelaran yang boleh,” kata atlet berusia 30 tahun itu.

Artikel Berkaitan:

Kejayaan Li Jane itu membolehkan beliau menyamai rekod empat kejuaraan yang diraih bekas pemain negara Sharon Koh.

Sementara itu, penyandang juara kategori lelaki, Muhammad Rafiq Ismail kecundang awal selepas menamatkan saingan Masters Terbuka di posisi ke-10 daripada keseluruhan 24 peserta dengan mengumpul 1,627 jatuhan pin.

Pada masa sama, juara dunia 2023, Natasha Mohamed Roslan turut gagal melayakkan diri ke saingan ‘step ladder’ Masters Terbuka Wanita selepas mengakhiri saingan di tempat ke-15 daripada keseluruhan 18 peserta dengan melakar 1,489 jatuhan pin. - Bernama