YBR salur RM55,000 kepada 110 pelajar B40 Bandar Tun Razak

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang (dua dari kanan) menyerahkan cek mock-up kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai simbolik penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR kepada penerima di Bandar Tun Razak.
Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang (dua dari kanan) menyerahkan cek mock-up kepada Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai simbolik penyerahan Bantuan Awal Pengajian YBR kepada penerima di Bandar Tun Razak.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 110 pelajar dalam kalangan B40 menerima bantuan awal pengajian berjumlah RM55,000 hasil inisiatif Yayasan Bank Rakyat (YBR) dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Insan Sejahtera Kuala Lumpur.

Pengerusi YBR, Datuk Philip Benedict Lasimbang berkata, YBR berusaha untuk membantu lebih ramai pelajar dalam kalangan B40 sebagai persediaan memulakan atau menyambung pengajian sedia ada.

Menurutnya, usaha berkenaan antara lain dapat mengurangkan bebanan kewangan yang ditanggung oleh keluarga di kawasan luar bandar.

"YBR juga menyambut baik inisiatif Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan Belanjawan bagi tahun 2024 di mana beliau telah mengarahkan semua IPTA untuk mengehadkan bayaran semasa pendaftaran tidak melebihi RM1,500.

"Malah, bagi kemasukan pelajar yang kurang kemampuan untuk membayar yuran pendaftaran tidak akan ditolak sehingga pelajar tersebut menerima bantuan pinjaman pendidikan.

"Bagi meneruskan usaha dalam menyediakan pelajar-pelajar dan golongan muda akses pendidikan yang berkualiti, inisiatif ini diharapkan memberi semangat kepada pelajar-pelajar di luar sana untuk meneruskan pengajian ke peringkat tertier dan seterusnya meningkatkan pembangunan modal insan negara," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis

Majlis Perasmian Bantuan Awal Pengajian YBR disempurnakan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Pusat Belia Antarabangsa (IYC) Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, pada Khamis.

Turut hadir Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Azizah berkata, bantuan tunai yang diberikan inisiatif bagi mengurangi bebanan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau turut berterima kasih di atas sokongan berterusan yang diberikan oleh YBR dalam membantu golongan kurang bernasib baik khususnya dalam kalangan pelajar di sekitar Bandar Tun Razak.