Jangan kentut depan orang, ini sebab-sebabnya

ISLAM melarang umatnya melakukan sesuatu perbuatan yang memalukan diri seperti kentut di hadapan orang ramai dan sebagainya. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
ISLAM melarang umatnya melakukan sesuatu perbuatan yang memalukan diri seperti kentut di hadapan orang ramai dan sebagainya. -Gambar hiasan/ Foto: Freepik
A
A
A

MENDENGAR bunyi kentut yang kuat, ia begitu menjengkelkan. Lebih-lebih lagi ketika itu pula kita sedang menikmati makanan, ‘putus’ selera dibuatnya.

Terdapat pula sebilangan orang kentut tidak berbunyi, tetapi meninggalkan bau yang kurang menyenangkan.

Pelbagai ragam manusia dapat kita lihat. Barangkali memang ada yang tidak sengaja berbuat demikian lantaran tidak tahan mahu membuang angin.

Itu cerita lain, tetapi bagaimana pula individu yang memang sengaja kentut di depan orang lain?

Pendakwah Ustaz Muhammad Rizal Johari berkongsi ilmu tentangnya di laman sosial Facebook dan saluran Telegram miliknya.

Tegas beliau, sengaja kentut di sebalah orang lain adalah perbuatan yang dibenci oleh agama.

SEBAIKNYA, elakkanlah daripada terkentut di hadapan orang ramai. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
SEBAIKNYA, elakkanlah daripada terkentut di hadapan orang ramai. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf

Artikel Berkaitan:

Fakta itu berdasarkan pandangan yang dinukilkan oleh Syaikul Islam Ibn Taimiyah Rahimahullah.

Menurut Ibn Taimiyah: “Dan barang siapa yang bertujuan mengeluarkan kentutnya untuk membuat tertawa sekelompok orang, maka sesungguhnya dia dicerca atas yang demikian itu, dan tertolak persaksiannya (iaitu dia adalah seorang yang tidak diterima jika diminta persaksian)”.

“Ini kerana para ulama menyebut, sengaja kentut secara terang-terangan agar menjadi lawak merupakan perbuatan kaum Luth.

“Malah, seseorang yang tidak berasa malu dengan manusia, maka pasti dirinya juga tidak malu pada ALLAH SWT. Demikian jelas Ibn Taimiyah dalam kitab Mukhtasor al-Fataawa,” katanya.

Bagaimanapun, andai seseorang itu berada dalam satu majlis atau aktiviti beramai-ramai dan tanpa sengaja ‘terlepas’ kentut, Ustaz Muhammad Rizal yang juga penulis buku kerohanian menjelaskan, tidak mengapa andai begitu situasinya.

“Namun, jika berniat sengaja atau melawak, maka berdosa. Akan tetapi jika terlepas tanpa sengaja atau tidak tahan, maka tidak menjadi dosa baginya.

“Bagi orang yang ingin kentut, seharusnya dia beredar daripada mendekati seseorang yang lain. Pastinya kentut itu membuatkan orang lain tidak senang lebih-lebih lagi ketika seseorang itu sedang makan,” tegasnya.

Sementara itu, memetik laman sosial Facebook 1001 Sirah Nabi Muhammad, pendakwah Ustaz Emran Ahmad menjelaskan, Islam melarang umatnya melakukan sesuatu perbuatan yang memalukan diri seperti kentut di hadapan orang ramai dan sebagainya.

BAGI mereka yang hendak kentut, seharusnya beredar dari mendekati orang lain. -Gambar hiasan/ Foto: Canva
BAGI mereka yang hendak kentut, seharusnya beredar dari mendekati orang lain. -Gambar hiasan/ Foto: Canva

“Bagaimanapun bagi mereka yang terkentut, maka hendaklah menyembunyikan perbuatannya dan meneruskan pekerjaannya seperti biasa,” katanya.

Ia sebagaimana disebutkan dalam hadis daripada Aisyah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda: “Jika salah seorang daripada kamu terkentut sewaktu solatnya, maka hendaklah dia memegang hidungnya, lalu beredar (dari solat).” (Hadis Riwayat Abu Daud)

Ada sebab mengapa individu berkenaan perlu memegang hidungnya.

Ustaz Emran kemudian mengemukakan pandangan al-Khattabi dalam kitab Awan al-Ma’bood yang menjelaskan, perintah itu supaya ia memperlihatkan seolah-olah orang lain menyangka dia menghadapi hidung berdarah dan bukan keluar daripada solat sebab kentut.

“Tujuannya bagi melindungi perkara memalukan dan tidak termasuk berbohong, sebaliknya daripada akhlak yang baik,” katanya.

Dalam pada itu, Ustaz Emran menegaskan supaya kita tidak sesekali mengejek mahupun mertertawakan orang yang terkentut. Sebaliknya, teruskan urusan kita seperti biasa seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.

“Ini kerana haram berbuat demikian (mengejek dan mentertawakan orang terkentut).

“Dalam hal ini, menutup aib saudara kita adalah suatu sunnah dan kemuliaan,” ungkapnya.

DALAM sebuah hadis Riwayat Abu Daud, seseorang yang terkentut sewaktu solat disarankan supaya memegang hidungnya lalu beredar daripada solat bagi melindungi dirinya daripada perkara memalukan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf
DALAM sebuah hadis Riwayat Abu Daud, seseorang yang terkentut sewaktu solat disarankan supaya memegang hidungnya lalu beredar daripada solat bagi melindungi dirinya daripada perkara memalukan. -Gambar hiasan/ Foto: 123rf