Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS, kadar faedah AS kekal

Pada 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7520/7570 berbanding dolar AS. - Foto hiasan
Pada 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7520/7570 berbanding dolar AS. - Foto hiasan
A
A
A

RINGGIT dibuka tinggi berbanding dolar AS pada pagi urus niaga Khamis selepas Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat membuat keputusan sebulat suara untuk mengekalkan Kadar Dana Persekutuan pada julat 5.25 peratus hingga 5.50 peratus semasa mesyuaratnya malam tadi.

Pada 9.05 pagi, ringgit menambah nilai kepada 4.7520/7570 berbanding dolar AS daripada penutup semalam pada 4.7695/7735.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, keputusan Rizab Persekutuan AS sejajar dengan jangkaan pasaran.

"Bagaimanapun, penilaian Rizab Persekutuan terhadap ekonomi menunjukkan pendirian yang lebih berhati-hati. Dalam kenyataan FOMC yang disertakan, secara jelas dinyatakan bahawa keadaan kewangan dan kredit yang ketat dijangka memberi kesan kepada aktiviti ekonomi.

"Istilah "kewangan" berkemungkinan merujuk kepada peningkatan ketara dalam hasil perbendaharaan AS jangka panjang, yang telah mengurangkan keperluan untuk Rizab Persekutuan melaksanakan langkah tambahan ketat monetari,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit menyusut nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1600/1635 daripada 3.1540/1569 pada penutup Rabu, rendah berbanding euro kepada 5.0371/0424 daripada 5.0313/0356 dan lemah berbanding pound Britain kepada 5.7936/7997 daripada 5.7897/7946 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur.

Artikel Berkaitan:

Ringgit menambah nilai berbanding rupiah Indonesia pada 298.1/298.6 daripada 299.2/299.6 dan meningkat berbanding peso Filipina pada 8.37/8.39 daripada 8.39/8.41

Namun begitu, mata wang tempatan menyusut berbanding dolar Singapura kepada 3.4800/4840 daripada 3.4786/4820 dan rendah berbanding baht Thailand kepada 13.1982/2176 daripada 13.1645/1803 pada penutup semalam. - Bernama