ABIM sokong penganjuran minggu solidariti Palestin

Pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak memahami isu berkenaan dengan betul. Gambar hiasan. Foto: Bernama
Pendidikan memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak memahami isu berkenaan dengan betul. Gambar hiasan. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong tindakan Kementerian Pendidikan (KPM) melaksanakan Minggu Solidariti Palestin di semua institusi pendidikan di bawah kementerian itu dari 29 Oktober hingga 3 November ini.

Naib Presidennya, Zairudin Hashim berkata, dalam konteks konflik Israel-Palestin ini, pendidikanlah yang memainkan peranan penting dalam memastikan anak-anak memahami isu berkenaan dengan betul, dan sejajar dengan pandangan kerajaan bagi mengelakkan naratif yang salah daripada media sosial.

Sehubungan itu beliau menggesa agar polemik mengenai penganjuran Minggu Solidariti Palestin itu dihentikan serta-merta.

"ABIM merujuk kepada penegasan yang dikeluarkan KPM mengenai prosedur yang telah ditetapkan untuk pengelolaan Minggu Solidariti Palestin. Menurut penilaian ABIM panduan ini dijelaskan dengan terperinci dalam pekeliling yang dikeluarkan pada 21 Okt lepas,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, ABIM menilai bahawa panduan yang disediakan oleh KPM melalui pekeliling itu adalah penting untuk memastikan bahawa nilai-nilai kemanusiaan yang universal, perpaduan, keharmonian dan karamah insaniah diutamakan dalam program ini.

Zairudin berkata, program itu bertujuan mendidik murid-murid nilai-nilai manusiawi yang turut merangkumi hak asasi manusia dan sifat ihsan, termasuk sikap empati dan keprihatinan terhadap penderitaan yang dialami individu lain tanpa mengira bangsa, agama dan status sosial. - Bernama

Artikel Berkaitan: