Tunggakan gaji pekerja MYAirline: Polis Selangor terima 44 laporan

Polis Selangor menerima 44 laporan daripada pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu, berkaitan dakwaan tunggakan gaji mereka.
Polis Selangor menerima 44 laporan daripada pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu, berkaitan dakwaan tunggakan gaji mereka.
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Selangor menerima 44 laporan daripada pekerja syarikat penerbangan MYAirline yang sedang menghadapi penggantungan operasi sejak 12 Oktober lalu, berkaitan dakwaan tunggakan gaji mereka.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, jumlah laporan itu hasil semakan bagi tempoh sejak 1 Oktober lalu hingga jam 1 petang Rabu.

"Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya menerima laporan tertinggi berkaitan isu berkenaan iaitu sebanyak 18, IPD KLIA (tujuh), IPD Sepang dan IPD Petaling Jaya (enam).

"IPD Serdang (tiga), IPD Shah Alam (dua), manakala masing-masing satu laporan di IPD Kajang dan IPD Kuala Langat," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Ujar beliau, laporan itu dibuat susulan pekerja MYAirline mendakwa tidak berpuas hati kerana gaji mereka tidak dibayar.

"Kes dirujuk ke mahkamah untuk pengadu mengambil tindakan sivil," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan kira-kira 20 pekerja MYAirline membuat laporan polis di IPD Sepang, yang diiringi Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor.

Kamarul Baharin dilaporkan berkata, laporan polis itu dibuat kerana MYAirline didakwa gagal membuat pembayaran gaji serta tidak membuat caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Perkeso sejak Mei lalu.

Artikel Berkaitan:

Penggantungan operasi MYAirline pada 12 Oktober lalu yang dikatakan ekoran tekanan kewangan turut menimbulkan persoalan dalam kalangan lebih 500 kakitangan syarikat penerbangan itu berhubung status perkhidmatan mereka dalam syarikat berkenaan yang memulakan penerbangan sulungnya pada 1 Disember tahun lalu.