MPK nafi dakwaan bunuh kucing jalanan

Dakwaan dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook mengatakan MPK telah membunuh kucing jalanan di Medan Selera Jom Makan, Kemaman.
Dakwaan dimuat naik seorang pengguna di laman sosial Facebook mengatakan MPK telah membunuh kucing jalanan di Medan Selera Jom Makan, Kemaman.
A
A
A

KEMAMAN - Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) menafikan dakwaan tular di media sosial pada 22 Disember lalu yang mengatakan pihaknya telah membunuh kucing jalanan di Medan Selera Jom Makan di sini bagi operasi pembersihan di kawasan itu.

Yang Dipertua MPK, Jusman Ibrahim berkata, kucing itu tidak dibunuh sebaliknya dipindahkan ke lokasi lain dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Kemaman Stray Cats Community untuk memberi makan kepada haiwan itu.

"Semalam kami dikejutkan dengan laporan yang telah dikongsi di laman sosial Facebook mengatakan kononnya MPK telah membunuh kucing gelandangan dan telah membuangnya di suatu kawasan.

"Kita telah memeriksa dakwaan itu dan mendapati ia tidak benar.

"Kucing-kucing yang mati telah dibunuh oleh anjing-anjing liar yang muncul di kawasan itu tanpa pengetahuan MPK.

"Kita tidak mempunyai niat untuk membunuh kucing-kucing dan dakwaan itu adalah satu tohmahan terhadap badan yang menjaga kepentingan awam," katanya.

Sehubungan itu, katanya pihaknya telah membuat laporan polis pagi tadi di Balai Polis Kemaman berhubung dakwaan itu.

Sementara itu, Pengasas Kemaman Stray Cats Community, Dr Zulkifli Awang dalam satu kenyataan berkata, dakwaan bahawa kucing-kucing yang dipindahkan dari medan selera ke Kemaman Waterfront telah dibunuh adalah tidak benar.

Artikel Berkaitan:

"Kami telah menghubungi kakitangan MPK untuk bertanya lokasi sebenar kucing-kucing medan Selera Jom Makan dipindahkan.

"Mereka memberikan kerjasama baik dengan menunjukkan lokasi kucing itu.

"Ada yang dipindahkan di kawasan yang selamat di kawasan MPK sendiri dan diberi makan oleh pekerja MPK dan ada yang dipindahkan di kawasan Kemaman Waterfront.

"Beberapa ekor kucing didapati telah mati di Kawasan Waterfront mungkin akibat kesejukan atau dibaham anjing atau babi," katanya.

Kelmarin tular di media sosial apabila seorang pengguna memuat naik gambar kucing mati dan mendakwa ia telah dibunuh oleh pihak MPK.