Kertas siasatan kes fitnah Wan Azizah dirujuk ke AGC - Bukit Aman

Mohd Shuhaily
Mohd Shuhaily
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kertas siasatan berkaitan hantaran didakwa berbaur fitnah terhadap isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dirujuk ke Pejabat Peguam Negara (AGC).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, pihaknya menegaskan tiada sebarang salah guna kuasa atau penyelewengan berlaku dalam siasatan yang dijalankan.

Menurutnya, siasatan dijalankan secara profesional berlandaskan prosedur yang ditetapkan undang-undang.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyangkal dakwaan oleh pihak-pihak tertentu berhubung isu kegagalan menjawab soalan pegawai penyiasat semasa rakaman percakapan diambil di bawah Seksyen 113 Kanun Tatacara Jenayah.

"Sebaliknya, keengganan memberi kerjasama dilihat daripada konteks kegagalan memberi maklumat berhubung capaian kepada data berkomputer sebagaimana peruntukan Seksyen 116B Kanun Tatacara Jenayah dan Seksyen 249 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, melalui peruntukan ini, seseorang pegawai polis yang menjalankan suatu penggeledahan hendaklah diberi capaian kepada data berkomputer termasuk diberi kata capaian, kod penyulitan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu dan apa-apa cara lain yang dikehendaki untuk membolehkan pemahaman data berkomputer.

Pada Isnin, penyedia kandungan pro Perikatan Nasional (PN), Ratu Naga menyifatkan laporan polis ke atasnya sebagai palsu dan fitnah.

Ratu Naga atau nama sebenarnya Syarul Ema Rena Abu Samah dirakam percakapan hampir tiga jam selepas hadir bersama peguam di Bukit Aman.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini Ratu Naga menerusi satu hantaran di Instagram berkongsi satu video mengandungi tangkap layar memaparkan akaun media sosial Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Video berkenaan memaparkan gambar isteri Perdana Menteri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail bersama isteri Perdana Menteri Israel, Sara Netanyahu.