Penuntut didakwa buat hantaran mahu bunuh Muhyiddin

Zee Zing (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Ampang pada Rabu, atas satu pertuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Perdana Menteri, tiga tahun lalu.
Zee Zing (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Ampang pada Rabu, atas satu pertuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Perdana Menteri, tiga tahun lalu.
A
A
A

AMPANG - [DIKEMAS KINI] Seorang wanita tempatan yang bekerja sebagai pembantu di sebuah klinik di Singapura, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas satu pertuduhan membuat hantaran jelik untuk membunuh Perdana Menteri Kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tiga tahun lalu.

Tai Zee Zing, 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Wan Mohd Norisham Wan Yaakob.

Untuk rekod, Muhyiddin secara rasmi diangkat menjadi Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac 2020 dan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Mengikut pertuduhan, wanita itu yang menuntut di peringkat diploma dalam jurusan pengurusan perniagaan di Singapura, didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook menggunakan profil 'penny tai', secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya iaitu 'can hired killer to kill new prime minister'.

Ia dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain, di Balai Polis Ampang di sini pada 12.35 tengah hari, 1 Mac 2020.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 233(1)(a)(ii) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum bawah Seksyen 233(3) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian, kesalahan diteruskan selepas pensabitan, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Hakim Amir Abdul Hamid mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dan mengenakan syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan serta menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Bagaimanapun, peguam, Rajsurian Pillai merayu kadar itu dikurangkan kerana Zee Zing masih belajar selain membantu menanggung ibu bapa.

Artikel Berkaitan:

"Memandangkan dia perlu berulang alik ke negara republik itu, saya bantah syarat tambahan yang dicadangkan," katanya.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Wan Mohd Norisham membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 20 Disember depan.