[VIDEO] Hakim sebak, jatuh hukum jel 14 tahun terhadap ibu tunggal, rakan serumah dera anak

A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang ibu tunggal dan rakan serumah dijatuhi hukuman penjara 14 tahun oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Rabu atas dua pertuduhan menganiaya dan mengabaikan anak kandungnya, pada Ogos lalu.

Hakim VM Mabel Sheela membuat keputusan itu terhadap wanita terbabit, 27, dan Awiin Chua, 30, selepas ditangguhkan pada 10 Oktober lalu kerana beliau cuti sakit.

Mabel Sheela sebak apabila pihak pendakwa membuat penghujahan dan tidak dapat membayangkan penderitaan kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang didera dalam tempoh sebulan.

Ibu tunggal (belakang) dan rakan serumah, Awiin keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bharu selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.
Ibu tunggal (belakang) dan rakan serumah, Awiin keluar dari Mahkamah Sesyen Johor Bharu selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun.

"Mahkamah tidak boleh membayangkan keadaan mangsa jika keadaan berlarutan lebih lama dan tidak dibantu orang awam, pastinya mangsa sudah meninggal dunia," katanya dengan sebak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Diyana Zubir. Manakala kedua tertuduh diwakili Peguam, Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah.

Dalam penghujahan, Nur Diyana memaklumkan hasil pemeriksaan dilakukan pakar perubatan terdapat lebih 20 kecederaan fizikal pada tubuh mangsa.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tempoh tertuduh melakukan penderaan terhadap mangsa selama sebulan yang mana kedua-dua tertuduh mempunyai penjagaan terhadap mangsa kerana mangsa tinggal bersama mereka.

"Kekerapan penderaan setiap hari sejak 1 Julai hingga 9 Ogos berdasarkan kepada pengesahan luka lama dan baru serta parut tubuh badan mangsa dalam laporan perubatan.

"Mangsa bukan sahaja dipukul tetapi turut diabaikan dengan meninggalkan mangsa keseorangan, dikunci di rumah tanpa makanan serta tidak menghalang atau menyelamatkan mangsa apabila dipukul," katanya.

Selepas mengambil kira penghujahan pendakwaan, Mabel Sheela menetapkan tertuduh dipenjara tujuh tahun bagi pertuduhan pertama dan kedua.

Mahkamah seterusnya memerintahkan kedua tertuduh menjalani hukuman penjara serentak bagi dua pertuduhan bermula dari tarikh tangkapan 12 Ogos lalu.

Mengikut kertas pertuduhan pertama, kedua-dua tertuduh didakwa mencapai niat bersama menganiaya seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun yang di bawah pemeliharaan mereka sehingga menyebabkan mangsa menghadapi kecederaan fizikal.

Manakala, bagi pertuduhan kedua, mereka didakwa mencapai niat bersama mengabaikan kanak-kanak yang juga anak kedua ibu tunggal itu ketika mangsa di bawah pemeliharaan mereka.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah dekat Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini, antara 1 Julai hingga 9 Ogos lalu.

Pendakwaan kedua-dua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 16 Ogos lalu, ibu tunggal itu dan rakan serumahnya yang juga wanita berperwatakan lelaki mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Fatimah Zahari.

Bagaimanapun, pada 27 September lalu, kedua-dua mereka menukar pengakuan kepada bersalah, selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan semula oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Mabel Sheela.

Awal Ogos lalu, media melaporkan seorang kanak-kanak lelaki disyaki menjadi mangsa dera kepada dua wanita yang mana seorang daripadanya adalah ibu kandungnya.

Kejadian menimpa kanak-kanak itu terbongkar selepas jiran menyerbu rumah diduduki dua beranak itu bersama kenalan ibu mangsa.

Video menunjukkan insiden orang awam menyerbu rumah berkenaan bagi menyelamatkan mangsa tular di media sosial yang turut memaparkan kecederaan agak teruk di bahagian belakang badan kanak-kanak berkenaan.