Jaga adab, jangan biadab. Ini 6 etika ziarah makam Rasulullah SAW

DISUNATKAN untuk menziarahi makam Rasulullah SAW dan mendapat pahala yang banyak bagi sesiapa melakukannya. -Gambar hiasan/ Foto: Viva.co.id
DISUNATKAN untuk menziarahi makam Rasulullah SAW dan mendapat pahala yang banyak bagi sesiapa melakukannya. -Gambar hiasan/ Foto: Viva.co.id
A
A
A

PADA Selasa, pendakwah Ustazah Asma’ Harun membuat teguran terbuka tentang dialog dilontarkan dalam satu babak drama yang sedang hangat ditayangkan di salah satu saluran televisyen ketika ini.

Ungkapan itu antara lain membabitkan lafaz yang disifatkan agak melampau di Tanah Suci dan melibatkan nama serta makam Rasulullah SAW.

Dialog tersebut berbunyi: “Eh perempuan, kau dengar apa aku cakap eh. Depan makam Rasululullah ni, aku cakap depan muka kau. Kalau Rayyan benci aku, aku akan pastikan dekat tanah haram ini juga engkau mampus.”

Ketika bait itu dituturkan, tangan pelakon wanita tersebut turut mengarah kepada Masjid Nabawi yang kelihatan jelas menerusi cermin kaca bilik yang didiaminya.

Tegas Ustazah Asma’, tidak layak dan tidak wajar perkataan seumpama itu diungkapkan atas dasar serta alasan apa pun.

Tidak kiralah sama ada ayat tersebut diambil daripada kisah benar ataupun dialog sebenar.

USTAZAH ASMA' (gambar kanan) menegur dialog dituturkan dalam satu babak drama yang ditayangkan di sebuah saluran televisyen.
USTAZAH ASMA' (gambar kanan) menegur dialog dituturkan dalam satu babak drama yang ditayangkan di sebuah saluran televisyen.

Artikel Berkaitan:

Perkara itu tegasnya, jelas bertentangan dengan akhlak dan adab yang dianjurkan dalam Islam.

“Di Tanah Suci, kita diajar supaya jaga lidah, akhlak dan perkataan yang mana ada etika dan menghormati tanah haram,” katanya sebagaimana dipetik menerusi video yang dikongsikan akaun media sosial miliknya.

Sinar Islam kemudian merujuk kepada artikel yang pernah disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan berkaitan adab-adab menziarahi makam Rasulullah.

Pejabat mufti berkenaan menyenaraikan enam adab sebagaimana yang disebutkan dalam kitab fiqh terkenal Mazhab Syafie iaitu al-Fiqh al-Manhaji ‘ala Mazhab al-Imam al-Syafi’e seperti berikut:

1. Sunat berazam menziarahi Nabi Muhammad SAW dan masjidnya ketika menuju ke Madinah supaya mendapat pahala kedua-duanya. Disunatkan juga untuk memperbanyakkan selawat ke atas Baginda SAW dalam perjalanan tersebut.

2. Sebelum masuk Madinah, sunat untuk mandi andai ada kemudahan. Jika tiada, lakukanlah demikian sebelum masuk ke dalam masjid dan pakailah pakaian yang paling bersih.

3. Apabila sampai di pintu masjid, Nabi Muhammad SAW melangkah masuk dengan kaki kanan sambil membaca: “Aku memohon perlindungan dengan ALLAH yang MAHA AGUNG, dengan zat-NYA yang MAHA MULIA dan dengan kekuasaan-NYA yang MAHA QADIM, daripada syaitan yang direjam. Dengan nama ALLAH dan segala puji-pujian bagi ALLAH. Ya ALLAH, berselawatlah ke atas Nabi Muhammad SAW dan ke atas keluarganya, dan sejahterakanlah mereka! Ya ALLAH, ampunilah dosa-dosaku dan bukakanlah pintu rahmat-MU untukku.”

APABILA kita bertamu bertamu di hadapan junjungan besar Rasulullah SAW, sudah tentu kita harus mengamalkan etika dan sopan santun dalam menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. -Gambar hiasan/ Foto: Republika.co.id
APABILA kita bertamu bertamu di hadapan junjungan besar Rasulullah SAW, sudah tentu kita harus mengamalkan etika dan sopan santun dalam menziarahi makam Nabi Muhammad SAW. -Gambar hiasan/ Foto: Republika.co.id

Zikir dan doa itu sunat dibacakan di setiap masjid sepertimana yang dinyatakan dalam beberapa hadis sahih dan lainnya, menurut Imam an-Nawawi.

4. Usai menunaikan solat di Raudhah, pergilah ke makan Baginda SAW yang mulia. Berdiri di situ dengan membelakangi kiblat dan menghadap dinding makam kira-kira empat hasta jaraknya daripada bahagian kepala.

Sambil tunduk menghadap dinding makam, kosongkan fikiran daripada hal-hal keduniaan, seolah-olah berhadapan dengan Baginda dengan segala kemuliaan dan kedudukannya yang tinggi serta ucapkanlah salam dengan perlahan.

Kemudian, bergerak sedikit ke kanan di tempat kubur Abu Bakar dan ucapkanlah salam. Seterusnya, melangkah lagi ke kanan di tempat kubur Umar bin al-Khattab dan lakukan perkara sama seperti tadi.

Akhir sekali, kembali ke tempat permulaan. Sambil menghadap kiblat, berdoalah untuk diri sendiri dan semua orang Mukmin apa jua doa yang dihajati. Itulah masa berdoa yang mustajab, insya-ALLAH.

5. Tidak harus tawaf di makam Nabi Muhammad SAW.

6. Sebaiknya, lakukanlah solat di masjid Rasulullah SAW selama berada di Madinah dan menziarahi perkuburan Baqi’ pada setiap hari dan kubur para syuhada di Uhud.

Dalam pada itu, portal liputan6.com menyarankan supaya kita memasuki masjid dengan mendahulukan kaki kanan dan membaca doa masuk masjid.

Sementara itu, Facebook Emraz Travel & Tours Sdn sebelum ini pernah menyenaraikan adab-adab ketika di tanah haram.

Antaranya termasuklah menunjukkan akhlak mulia, menjauhi percakapan dan perbuatan keji, mengelakkan diri bersifat sombong serta takbur dan menghindari pertengkaran.

PELIHARALAH akhlak dan adab ketika berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah termasuk Masjid Nabawi. -Gambar hiasan
PELIHARALAH akhlak dan adab ketika berkunjung ke Tanah Suci Makkah dan Madinah termasuk Masjid Nabawi. -Gambar hiasan