Tiada lagi tercicir, akses pendidikan untuk semua

Fokus KPM terapkan Pendidikan Manusiawi, keberhasilan murid

A
A
A

Pendidikan Manusiawi selari aspirasi sistem dan murid dalam PPPM 2013-2025 untuk mencapai lima keberhasilan meliputi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.
Pendidikan Manusiawi selari aspirasi sistem dan murid dalam PPPM 2013-2025 untuk mencapai lima keberhasilan meliputi akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan.

SHAH ALAM - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah banyak melaksanakan usaha memartabatkan sistem pendidikan negara bagi melahirkan modal insan yang berketrampilan tinggi serta mampu membawa manfaat besar kepada kemajuan negara pada masa depan.

Komitmen KPM itu dibuktikan melalui penekanan kepada konsep Pendidikan Manusiawi yang memberi fokus dan penekanan terhadap aspek manusiawi serta nilai-nilai yang didorong dengan penghayatan kasih sayang dan saling menghormati. Pendidikan manusiawi mengangkat martabat individu (karamah insaniah) dengan memberi peluang pendidikan terbaik bagi setiap murid dan memastikan tiada siapa yang tercicir.

Konsep ini memupuk kanak-kanak dan belia untuk menyesuaikan diri dengan baik dari segi asas moral yang hasilnya diyakini menyumbang positif kepada pertumbuhan negara. Malah, konsep itu bertepatan dengan konsep ‘Anak yang Baik lagi Cerdik’ atau ABC yang dicetuskan Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Pkharuddin Ghazali bagi melahirkan insan yang cerdik dan mempunyai sahsiah diri yang baik.

Meneliti secara terperinci Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025, konsep Pendidikan Manusiawi amat bertepatan dengan aspirasi sistem pendidikan dan aspirasi murid seperti mana digariskan dalam pelan pembangunan itu.

Ini bermakna, Pendidikan Manusiawi selari aspirasi sistem dalam PPPM 2013-2035 untuk mencapai lima keberhasilan bagi sistem pendidikan Malaysia meliputi akses mendapat kesamarataan peluang pendidikan, kualiti pendidikan yang cemerlang, peningkatan ekuiti melalui pengurangan jurang pendidikan (lokaliti, sosioekonomi dan gender), membentuk dan memperkukuhkan asas perpaduan serta memaksimumkan kecekapan keberhasilan murid.

Selain itu, konsep Pendidikan Manusiawi turut selari dengan aspirasi murid melalui pemantapan tahap kualiti murid untuk bersaing di peringkat global yang merangkumi pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian serta pengukuhan identiti nasional.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, pembangunan dan kemajuan sesebuah negara ditentukan oleh kedua-dua aspirasi tersebut. Manakala, penekanan kemanusiaan berupaya menyelaraskan kehebatan akademik sekali gus membentuk generasi pembina negara pada masa depan.

Keterangkuman Pendidikan Manusiawi

Secara dasarnya, konsep Pendidikan Manusiawi menggalakkan keterangkuman serta memenuhi keperluan pelajar yang pelbagai. KPM berusaha memastikan setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa mengira tentang siapa dan di mana mereka berada.

No Image Caption

Malah, KPM sudah pun melaksanakan inisiatif bagi mencapai lima keberhasilan PPPM 2013-2025 iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan yang antaranya menerusi;

- Model Khas: Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK), Sekolah Dalam Hospital (SDH), Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney;

- Sekolah Komprehensif Khas 9 (K9), Sekolah Komprehensif 11 (K11);

- Murid Berkeperluan Pendidikan Khas (MBPK), dan

- Peningkatan kemahiran dan bakat.

Pada masa sama, konsep Pendidikan Manusiawi telah pun berjaya diterjemahkan oleh KPM melalui pewujudan Sekolah Bimbingan Jalinan Kasih (SBJK) dan Program SBJK.

SBJK adalah selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG 4) bagi memastikan pendidikan inklusif yang berkualiti dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Matlamat ini memastikan semua murid menamatkan persekolahan rendah dan menengah menjelang 2030. Kanak-kanak SBJK dan Program SBJK merupakan kanak-kanak warganegara Malaysia atau anak kepada salah seorang ibu bapa berstatus warganegara Malaysia dalam kelompok seperti yang berikut:

- Kanak-kanak yang tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar;

- Kanak-kanak tanpa dokumen pengenalan seperti sijil kelahiran atau kad pengenalan;

- Kanak-kanak jalanan dan terpinggir; dan

- Kanak-kanak yatim piatu yang tinggal di pusat kebajikan yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Pemilihan murid SBJK Chow Kit Kuala Lumpur memfokuskan kepada kanak-kanak warganegara jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur manakala murid Program SBJK di Sekolah Kebangsaan (SK) Sembulan di Kota Kinabalu, Sabah pula terdiri daripada kanak-kanak yang tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar untuk mendapatkan pendidikan.

Malah, SBJK dan Program SBJK adalah selari dengan konsep yang dibangunkan Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) yang bermatlamatkan ‘Pendidikan Untuk Semua’.

Selain itu, SBJK dan Program SBJK menyediakan akses kepada pendidikan formal dengan persekitaran kondusif untuk kanak-kanak dari peringkat prasekolah hingga sekolah menengah atas.

Dari segi asas pendidikan, SBJK ini menekankan kepada dua perkara iaitu;

- Mengelakkan keterlibatan dalam masalah sosial seperti penyalahgunaan dadah, alkohol, aktiviti seksualiti, penderaan dan gangsterime.

- Memberi dan memupuk kasih sayang dan membuka akses kepada pendidikan formal.

No Image Caption



Keseluruhannya, usaha KPM mewujudkan SBJK berjaya menentu ukur semula kehidupan golongan murid berkenaan di samping membuka peluang meningkatkan kualiti pendidikan serta melahirkan modal insan mengikut mengikut acuan mereka sendiri.

Konsep Pendidikan Manusiawi turut berjaya diperluaskan oleh KPM apabila telah merealisasikan program SDH yang menyediakan pusat pembelajaran yang kondusif kepada murid yang sedang menerima rawatan di hospital.

Setakat 2023, KPM dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan 17 SDH yang beroperasi di 11 buah negeri. Dari segi pembelajaran, program SDH adalah fleksibel, menyeronokkan dan dilaksanakan dalam suasana yang kondusif dengan menerapkan elemen terapi.

Perancangan

Bagi memperkasakan lagi konsep Pendidikan Manusiawi dalam sistem pendidikan, KPM merancang mewujudkan pelan transformasi strategik baharu selepas PPPM 2013-2025 tamat.

Perancangan itu selaras dengan rancangan baharu Kurikulum yang mana ia bakal merangkumi konsep MADANI dan selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan 4 (SDG4) bagi memastikan pendidikan berkualiti yang inklusif dan saksama serta menggalakkan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

Infografik:

KPM mewujudkan SBJK dan Program SBJK bagi memastikan pendidikan inklusif berkualiti dan saksama dengan peluang pembelajaran sepanjang hayat untuk semua.

1.SBJK Chow Kit, Kuala Lumpur

- Melibatkan kanak-kanak warganegara jalanan dan terpinggir di sekitar Kuala Lumpur.

2.Program SBJK SK Sembulan, Sabah.

- Melibatkan kanak-kanak tercicir berpanjangan daripada keluarga miskin tegar.

KPM dengan kerjasama KKM telah mewujudkan 17 SDH yang beroperasi di 11 buah negeri iaitu;

- SDH Hospital Serdang, Selangor (2011)

- SDH Hospital Tunku Azizah, Kuala Lumpur (2011)

- SDH Hospital Ampang, Kuala Lumpur (2011)

- SDH Pakar Kanak-Kanak, Kuala Lumpur (2012)

- SDH Hospital Sultanah Aminah, Johor (2012)

- SDH Hospital Sultan Haji Ahmah Shah, Pahang (2012)

- SDH Hospital Universiti Sains Malaysia, Kelantan (2012)

- SDH Pusat Perubatan Universiti Malaya, Kuala Lumpur (2013)

- SDH Hospital Selayang Selangor (2013)

- SDH Hospital Pakar Sultanah Fatimah Johor (2013)

- SDH Hospital Tuanku Jaafar Seremban, Negeri Sembilan (2014)

- SDH Hospital Umum Sarawak, Sarawak (2014)

- SDH Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Likas, Sabah (2014)

- SDH Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu (2015)

- SDH Hospital Tawau, Sabah (2015)

- SDH Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah (2023)

- SDH Hospital Tuanku Fauziah, Kangar, Perlis (2023)