KDEBWM sahkan pemandu lori kompaktor syarikat itu diserang

Tular satu video di Facebook memaparkan seorang lelaki memanjat sebuah lori sampah dan bertindak agresif menyerang pemandu tersebut.
Tular satu video di Facebook memaparkan seorang lelaki memanjat sebuah lori sampah dan bertindak agresif menyerang pemandu tersebut.
A
A
A

SHAH ALAM - KDEB Waste Management (KDEBWM) mengesahkan kejadian tular di media sosial melibatkan pemandu lori kompaktor diserang individu tidak dikenali adalah pemandu kompaktor syarikat berkenaan.

Jabatan Media dan Perhubungan Awam KDEBWM dalam kenyataan memaklumkan, kejadian berlaku jam 9.30 pagi semasa operasi kutipan sisa pada 29 Oktober di Pekan Sungai Besar, Sabak Bernam.

Menurut kenyataan itu, hasil semakan mendapati kejadian berpunca daripada tindakan pemandu kompaktor KDEBWM membunyikan hon kepada individu terbabit agar mengalihkan kenderaan.

"Ini kerana kenderaan individu terbabit menghalang laluan lori kompaktor semasa menjalankan operasi kutipan sisa domestik di kawasan berkenaan," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Bagaimanapun, menurut kenyataan, tindakan itu telah menimbulkan kemarahan individu terbabit yang kemudiannya dilaporkan menyerang pemandu kompaktor KDEBWM dengan sebatang kayu.

"Individu tersebut juga menyerang pemandu kompaktor KDEBWM dengan menggunakan besi kunci stereng kenderaan serta membuat ugutan bunuh.

"Satu laporan polis dibuat di balai polis Sungai Besar berhubung kejadian itu, pemandu berkenaan mengalami kecederaan di kepala dan tangan akibat serangan tersebut," kata kenyataan itu lagi.

ARTIKEL BERKAITAN:Polis cari lelaki pukul, cedera pemandu lori sampah

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN:Lelaki pukul, cedera pemandu lori sampah miliki 4 rekod jenayah lampau

Dalam pada itu, pihak KDEBWM menyerahkan insiden tersebut kepada pihak polis untuk menjalankan siasatan lanjut.

KDEBWM turut menyeru orang ramai untuk memberikan kerjasama kepada KDEBWM terutamanya berkaitan dengan laluan kenderaan lori kompaktor agar operasi kutipan sisa berjalan lancar dan mengikut jadual.

Terdahulu, media melaporkan lelaki yang tular selepas memukul dan mencederakan seorang pemandu lori sampah di Sungai Besar di sini mempunyai empat rekod jenayah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Agus Salim Mohd Alias dilaporkan berkata, suspek berusia lewat 50-an itu terlibat dalam kes ugutan jenayah dan mencederakan orang.

Menurut beliau, suspek ditahan polis kira-kira jam 2 pagi di sebuah rumah di Pandan Perdana, Kuala Lumpur.