'Bukan masa bereksperimen'

Pekan
Pekan
A
A
A

JAWATANKUASA Road to Gold (RTG) perlu tegas memutuskan atlet yang wajar dikekalkan dalam program tersebut kerana masa kian suntuk menuju ke Sukan Olimpik Paris 2024 yang berbaki 269 hari lagi.

Ia susulan jawatankuasa itu dijadual bermesyuarat pada Selasa bagi menilai semula prestasi dan potensi setiap atlet RTG dalam misi meraih pingat emas pertama Malaysia pada temasya sukan terbesar dunia itu.

Penganalisis Sukan, Datuk Dr Pekan Ramli berkata, ini bukan masa untuk bereksperimen, sebaliknya jawatankuasa itu perlu membuat senarai pendek atlet yang benar-benar berpotensi untuk naik podium seterusnya menghadiahkan emas buat negara.

Beliau berkata, fokus sepenuhnya perlu diberikan buat mereka yang melibatkan aspek sains sukan, latihan, kejohanan, psikologi dan proses pemulihan jika berlaku sebarang kecederaan.

“Saya setuju dengan kriteria RTG yang menetapkan syarat atlet yang diserap ke dalam program itu pernah memenangi pingat Sukan Olimpik (Tokyo 2020) dan berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.

Laporan Sukan Sinar pada 30 Oktober.
Laporan Sukan Sinar pada 30 Oktober.

“Kita juga perlu realistik antara sasaran dan prestasi semasa atlet itu.

"Kita tidak punyai banyak masa, berbaki sembilan bulan perlu ada senarai pendek dan muktamadkan nama mereka.

Artikel Berkaitan:

“Fokus pertingkat prestasi mereka menerusi apa cara sekali pun dengan bantuan pakar-pakar kita untuk mencapai impian emas pertama Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Sabtu lalu, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan, persoalan mengenai nasib atlet yang tersenarai dalam program itu bakal terjawab dalam mesyuarat Jawatankuasa RTG pada Selasa.

Mengulas prestasi beregu badminton utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang menghuni ranking ketiga dunia, Dr Pekan berkata, banyak lagi 'kerja rumah' perlu mereka lakukan.

“Aaron-Wooi Yik wajar kekal berada dalam RTG, namun prestasi mereka perlu bertambah baik lagi.

"Ia berdasarkan peningkatan prestasi pasangan China, Taiwan dan India.

“Bagi atlet yang terkeluar daripada senarai kedudukan 10 terbaik, keputusan tepat perlu diambil, namun bukan bermakna di luar RTG atlet itu tidak berpotensi kerana mungkin mereka mampu lakar kejutan dan naik podium,” ujarnya.

Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika ini menghuni tangga ketiga dunia. - Foto Agensi
Aaron (kiri) dan Wooi Yik ketika ini menghuni tangga ketiga dunia. - Foto Agensi

Beliau menambah, prestasi Datuk Azizulhasni Awang tidak boleh dipersoal biarpun jaguh berbasikal trek negara itu tidak beraksi pada Sukan Asia Hangzhou 2022 akibat kecederaan.

“Azizulhasni atlet berpengalaman dan dia tahu apa yang perlu buat.

"Baik daripada aspek latihan, kejohanan dan sains sukan.

"Bantuan dan sokongan perlu terus diberikan kepadanya.

“Begitu juga dengan Muhammad Shah Firdaus Sahrom perlu dikekalkan dalam RTG kerana dia antara prospek yang mampu menjelmakan pingat Olimpik,” ujarnya.

Mengenai tiga atlet yang sudah mengesahkan slot ke Paris, Pekan berkata, pertimbangan sewajarnya perlu dibuat ke atas mereka kerana RTG adalah untuk dua kitaran Olimpik termasuk edisi Los Angeles 2028.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, penelitian terperinci perlu dibuat berdasarkan prestasi semasa dan potensi mereka menjelang temasya Olimpik Los Angeles yang bakal berlangsung lima tahun lagi.

“Saya setuju tak semestinya layak ke Olimpik Paris perlu diserap ke dalam RTG kerana program ini untuk dua kitaran Olimpik.

“Mungkin juga boleh serap untuk RTG kali ini, namun perlu realistik dengan pencapaian dan peluang mereka untuk menang emas di Los Angeles nanti,” katanya.

Tiga atlet terbabit ialah Bertrand Rhodict Lises (terjun), Nur Shazrin Latif (pelayaran) dan Johnathan Wong (menembak) yang melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik Paris 2024.