Monsun Timur Laut: Bomba pertingkat aspek keselamatan di gua

Abdul Wahab melakukan pemeriksaan Perbarisan Kehormat pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil 30 Tahun Perkhidmatan dan Sijil Perkhidmatan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Tahun 2022 di Ipoh pada Isnin.
Abdul Wahab melakukan pemeriksaan Perbarisan Kehormat pada Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Sijil 30 Tahun Perkhidmatan dan Sijil Perkhidmatan Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Tahun 2022 di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri-negeri diminta melakukan persediaan dengan meningkatkan aspek keselamatan di kawasan gua menjelang Monsun Timur Laut (MTL).

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Abdul Wahab Mat Yasin berkata, kebiasannya kawasan gua akan menjadi gelap dan paras air juga akan meningkat ketika musim tengkujuh yang mengundang risiko kepada pengunjung.

"Perak contohnya mempunyai 30 gua batu kapur yang dijadikan kawasan rekreasi dan keagamaan yang menarik kehadiran pelancong domestik dan antarabangsa.

"Jadi kita perlu memastikan ciri-ciri keselamatan di kawasan rekreasi melibatkan gua ini dipertingkatkan dengan mengambil iktibar daripada insiden 12 remaja dan seorang jurulatih bola sepak terperangkap dalam Gua Tham Luang, Thailand pada Julai 2018.

"Pasukan diminta memberi perhatian serius dan kalau boleh pelan laluan gua-gua ini dapat dipamer atau disimpan di balai.

"Operator pelancongan gua juga diminta menyediakan kemudahan asas seperti peralatan medik, pencahayaan dan alat menyelamat paling asas," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada 100 pegawai dan anggota bomba, 58 Sijil 30 Tahun Perkhidmatan dan Sijil Perkhidmatan Terpuji kepada 22 Pegawai Bomba Bantuan (PBB) Tahun 2022 di JBPM Perak di sini pada Isnin.

Menurut Abdul Wahab, JBPM telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan latihan dan menubuhkan Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung dan Gua (Mocsar).

Artikel Berkaitan:

"Seramai 30 ahli menyertai Mocsar di Perak selain menubuhkan Mocsar di Taman Negara Mulu, Sarawak dan Gunung Kinabalu, Sabah.

"Kita sedang usahakan penubuhan Mocsar di Merapoh, Pahang.

"Kita sedang mencari keahlian bagi menyertai pasukan ini," katanya.