KKM kesan dua kes baharu jangkitan cacar monyet

Dr Muhammad Radzi
Dr Muhammad Radzi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan terdapat dua kes baharu jangkitan cacar monyet (mpox) menjadi jumlah kumulatif sehingga kini sebanyak empat kes.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata, kedua-dua kes baharu ini tiada hubungkait dengan kes pertama dan kes kedua yang dilaporkan sebelum ini pada Julai 2022.

Menurutnya, kes ketiga positif jangkitan mpox melibatkan seorang lelaki warga tempatan menunjukkan gejala demam dan lepuh pada 6 Oktober lalu.

“Kes keempat adalah seorang lelaki warga tempatan merupakan kontak rapat kepada kes ketiga dan disahkan positif pada 23 Oktober.

"Beliau turut menunjukkan gejala yang sama pada 6 Oktober. Kedua-dua kes sedang menjalani isolasi di rumah dan berada dalam kesihatan stabil,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Jelas Muhammad Radzi, kedua-dua kes menafikan mempunyai sejarah lawatan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul.

“Semua kontak bagi kes ketiga dan keempat telah dikenalpasti dan tiada mengalami gejala jangkitan mpox. Status kesihatan mereka juga sedang dipantau,” tegasnya.

Tambahnya, mpox adalah sejenis jangkitan disebabkan virus mpox dan jangkitan berlalu melalui sentuhan rapat dengan individu yang mempunyai gejala dan tanda jangkitan mpox

Artikel Berkaitan:

“Gejala mpox adalah demam berserta ruam makula papular atau ruam lepuh pada muka, tapak tangan, tapak kaki, kemaluan, konjunktiva dan juga kornea.

“Tempoh inkubasi sebelum individu menunjukkan gejala jangkitan mpox adalah antara lima hingga 21 hari dari tarikh pendedahan kepada jangkitan.

"Individu positif jangkitan mpox boleh menjangkiti orang lain sehari sebelum gejala muncul dan sehingga semua lepuh telah kering serta tanggal sepenuhnya," katanya.

Jelasnya, lazimnya kes mpox akan sembuh sendiri tanpa sebarang rawatan khusus.

Beliau turut mengingatkan semua pengamal perubatan peka terhadap individu dengan gejala ruam dan lepuh yang datang dapatkan rawatan, terutama dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi (key population)

“Sejarah risiko kontak rapat dengan individu bergejala jangkitan mpox perlu didapatkan.

“Bagi kes yang disyaki mpox,swab lepuh, swab oral dan sampel darah /serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox,

“Kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasikan ke Pejabat Kesihatan Daerah melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah kawalan dapat dijalankan.