SELBIZ 2023 jana jualan RM2.27 juta


Pengunjung tidak melepaskan peluang melawat reruai yang terdapat di Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2023.
Pengunjung tidak melepaskan peluang melawat reruai yang terdapat di Ekspo Usahawan Selangor (SELBIZ) 2023.
A
A
A

EKSPO Usahawan Selangor (SELBIZ) 2023 berlangsung pada 6 hingga 8 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), di sini berjaya menjana transaksi jualan dan mencatatkan jumlah pengunjung melebihi sasaran awal.

Pengurus Besar Kanan Keusahawanan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azilah Arasad @ Arshad berkata, SELBIZ 2023 mencatatkan jualan RM2.27 juta melebihi 354 peratus daripada penganjuran tahun lalu merangkumi jualan langsung melibatkan pelbagai industri usahawan antaranya pembuatan, peruncitan serta perkhidmatan.

Menurut Azilah, pada tahun ini juga menyaksikan peningkatan jumlah penglibatan usahawan seramai 200 orang yang mempromosikan produk mereka di 200 reruai jualan berbanding tahun lalu hanya 149 usahawan yang mengambil bahagian.


Mohd Najwa melawat reruai SELBIZ 2023 yang diadakan bermula 6 hingga 8 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), Shah Alam.
Mohd Najwa melawat reruai SELBIZ 2023 yang diadakan bermula 6 hingga 8 Oktober 2023 di Pusat Konvensyen Setia Alam (SACC), Shah Alam.

“Usahawan juga berpeluang menjual produk mereka kepada orang ramai dalam skala lebih luas melalui padan perniagaan yang melibatkan agensi dan pasar raya seperti Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), SME Corporation Malaysia (SME Corp), Agrobank, AEON BiG dan Mydin.

“Pihak kami sangat gembira melihat sambutan daripada usahawan khususnya sekitar negeri Selangor yang merebut peluang meluaskan jaringan dan pasaran perniagaan sesama usahawan dan agensi keusahawanan yang terlibat sepanjang SELBIZ ini berlangsung,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan antara nilai teras PKNS yang sentiasa diamalkan untuk menyokong dan memberi peluang kepada golongan usahawan daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pemula niaga (start-up) untuk memperkenalkan serta mempromosikan produk kepada capaian khalayak yang lebih luas.

Artikel Berkaitan:

PKNS menganjurkan SELBIZ Run 2023 dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.
PKNS menganjurkan SELBIZ Run 2023 dan telah mendapat sambutan yang memberangsangkan.

Beliau berkata, selama tiga hari berlangsung, lebih 45,000 pengunjung telah hadir ke SELBIZ 2023.

Azilah berkata, tahun kedua dianjurkan oleh PKNS, SELBIZ menyediakan platform terbaik kepada semua usahawan kecil dan sederhana memperagakan produk dan perkhidmatan kepada masyarakat di bawah satu bumbung selain meningkatkan jaringan perniagaan menerusi kaedah Business to Business (B2B) dan Business to Customer (B2C).

“Pengunjung yang hadir pula bukan sahaja dapat membeli-belah dengan variasi produk usahawan tempatan, malah dapat meluangkan masa bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik, cabutan bertuah, berjumpa dengan selebriti kesayangan dan sebagainya,” tambah beliau.


Pengunjung tidak melepaskan membeli kuih yang dijual oleh usahawan yang terlibat dalam SELBIZ 2023.
Pengunjung tidak melepaskan membeli kuih yang dijual oleh usahawan yang terlibat dalam SELBIZ 2023.

Beliau berkata, SELBIZ 2023 berjaya memperkasakan perusahaan kecil di negeri itu yang secara tidak langsung menyumbang kepada taraf sosioekonomi negara selain sebagai bukti sokongan kepada inisiatif usahawan dan perniagaan membina kepercayaan serta kesetiaan pelanggan terhadap jenama mereka.

Ekspo tiga hari itu dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan & Keusahawanan Negeri Selangor, Mohd Najwan Halimi.