Netanyahu beri amaran perang di Gaza telah memasuki 'peringkat kedua'

Benjamin Netanyahu - Foto fail/AP
Benjamin Netanyahu - Foto fail/AP
A
A
A

PERDANA Menteri Israel, Benjamin Netanyahu memaklumkan operasi darat tentera Israel di Gaza telah memasuki peringkat kedua dalam apa yang disifatkan sebagai peperangan sukar dan panjang terhadap pejuang Hamas.

Bercakap menerusi siaran televisyen, beliau mengesahkan pasukan tentera rejim Zionis itu telah dikerahkan di keseluruhan Semenanjung Gaza di sebalik serangan bertubi-tubi semalaman.

Risalah telah dijatuhkan di Gaza bagi memberi amaran kepada penduduk mereka kini berada di 'zon perang' dan perlu meninggalkan kawasan itu dengan segera.

Kementerian Kesihatan Palestin di Gaza memaklumkan angka korban kini telah melebihi 8,000 orang.

Israel telah menyekat sebarang bentuk komunikasi sehingga menyebabkan terputus maklumat di Semenanjung Gaza dengan peningkatan pengeboman dan tembakan meriam.

Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan mengecam tindakan Israel dengan menyatakan negaranya tekad untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Israel adalah negara penjenayah perang.

Sentimen sama disuarakan Rusia, dengan Menteri Luarnya Sergei Lavrov menyifatkan serangan Israel ke atas Gaza mencabuli undang-undang antarabangsa dan berisiko mewujudkan bencana yang akan berterusan selama berdekad lamanya. - Awani

Artikel Berkaitan: