Rezeki dua beradik yatim piatu

Ahmad Zakir Afnan dan Syifa Aqilah menerima manfaat Perlindungan Takaful dan Khairat SSPN-I Plus yang disampaikan oleh Mohd Azrul Akmal (kiri) di Pejabat PPD Pasir Puteh, Kelantan semalam.
Ahmad Zakir Afnan dan Syifa Aqilah menerima manfaat Perlindungan Takaful dan Khairat SSPN-I Plus yang disampaikan oleh Mohd Azrul Akmal (kiri) di Pejabat PPD Pasir Puteh, Kelantan semalam.
A
A
A
PASIR PUTEH - Dua beradik yatim piatu dari Rantau Panjang dekat sini menerima manfaat perlindungan takaful dan khairat kematian berjumlah RM45,062.66 daripada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Manfaat yang diterima oleh Ahmad Zakir Afnan Salmi, 16, dan adiknya, Syifa Aqilah, 15, adalah hasil simpanan yang dibuat arwah ibu mereka, Allahyarham Che Saedah Ab Ghani, 50, menerusi Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i Plus) sejak 12 Mac 2018 sebelum arwah meninggal dunia pada 14 Julai lalu akibat serangan jantung.

Dua beradik itu turut diuji apabila kehilangan bapa akibat penyakit kanser paru-paru pada 2016.

Ahmad Zakir Afnan berkata, kesemua wang itu akan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh mereka untuk menyambung pelajaran pada masa hadapan.

“Ia bertepatan dengan hasrat arwah ibu dan ayah yang mahu saya serta adik melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Majlis Penyampaian Manfaat Perlindungan Takaful dan Khairat SSPN-i Plus di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Pasir Puteh di sini semalam.

Penyerahan itu disempurnakan Pengurus Besar PTPTN Negeri Kelantan, Mohd Azrul Akmal Mamat.

Ahmad Zakir berkata, dia masih menuntut di Maahad Tahfiz Sains Kok Lanas, sementara Syifa Aqilah belajar di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang.

Sementara itu, Mohd Azrul Akmal berkata, tahap kesedaran ibu bapa di Kelantan untuk mencarum di bawah SSPN-i semakin baik apabila seramai 320,346 orang telah berbuat demikian setakat Julai lalu.

“Ia sekali gus memperlihatkan mereka mulai sedar kepentingan caruman di bawah SSPN-i atau SSPN-i plus.
Artikel Berkaitan:


“Sehingga kini jumlah caruman di Kelantan sudah mencecah sebanyak RM168 juta,” katanya.

Beliau berkata, SSPN-i Plus atau SSPN-i mempunyai pelbagai manfaat kepada pencarum kerana ia dilengkapi dengan perlindungan insurans.

Katanya, dengan caruman serendah RM30 (RM20 untuk simpanan, RM10 insurans) mereka mampu mendapat manfaat sehingga RM40,000.

“Menariknya, duit simpanan pencarum tidak diusik, malah mereka boleh guna. Kita berikan dividen sebanyak empat peratus setakat ini," katanya.

Mohd Azrul Akmal berkata, selain itu pelepasan cukai sebanyak RM8,000 turut diberikan kepada pencarum SSPN-i.

KAPSYEN:

Ahmad Zakir Afnan dan Syifa Aqilah menerima manfaat Perlindungan Takaful dan Khairat SSPN-I Plus yang disampaikan oleh Mohd Azrul Akmal (kiri) di Pejabat PPD Pasir Puteh, Kelantan semalam.