Ugutan diterima Malaysia tunjukkan pendekatan dalam isu Palestin efektif

Kelantangan Malaysia dalam memperjuangkan nasib Palestin menunjukkan pendekatan Malaysia dalam konflik membabitkan Palestin dan Israel adalah efektif. Foto hiasan
Kelantangan Malaysia dalam memperjuangkan nasib Palestin menunjukkan pendekatan Malaysia dalam konflik membabitkan Palestin dan Israel adalah efektif. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ugutan terhadap kelantangan Malaysia dalam memperjuangkan nasib Palestin menunjukkan pendekatan Malaysia dalam konflik membabitkan Palestin dan Israel adalah efektif.

Pakar Geostrategi, Prof Dr Azmi Hassan berkata, pemimpin Malaysia perlu lantang dalam memperjuangkan isu rakyat Palestin kerana Israel secara terang-terangan tidak mematuhi undang-undang antarabangsa dan tidak berperikemanusiaan.

Beliau yang juga Felo Kanan Nusantara Academy for Strategic Research berkata, pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang isu Palestin pada hari ini adalah sama seperti pendirian pemimpin negara terdahulu yang mahukan pencerobohan dihentikan di wilayah bergolak itu.

"Cuma Datuk Seri Anwar lebih lantang dalam menyuarakan pendirian Malaysia. Ia tidak bermaksud Perdana Menteri mencuri peluang untuk meraih populariti,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Menurut Azmi, rakyat Malaysia harus berbangga dengan pemimpin yang berani membawa suara dan pendirian negara ke pentas antarabangsa.

Anwar ketika berucap pada Perhimpunan Malaysia Bersama Palestin pada Selasa mendedahkan menerima ugutan dari negara luar berhubung tindakannya yang menyuarakan pendirian negara dengan lantang.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI), Danial Rahman ketika dihubungi berkata, sokongan Perdana Menteri terhadap rakyat Palestin bukanlah untuk meraih populariti tetapi merupakan satu pegangan perjuangan yang konsisten sejak dahulu lagi.

"Usaha beliau (Perdana Menteri) merupakan cerminan pendirian rakyat Malaysia yang sememangnya prihatin terhadap opresi (penindasan) yang dihadapi warga Palestin dan penentangan terhadap keganasan oleh Kerajaan Israel,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Danial berkata, kenyataan kuat pemimpin negara yang menggesa negara-negara seluruh dunia untuk bersatu membantah keganasan Israel terhadap Palestin juga merupakan satu mesej pendirian negara yang jelas di peringkat global. - Bernama