Karenah birokrasi punca pelabur asing tarik diri di Terengganu?

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, Malaysia mempunyai sejumlah RM732 bilion nilaian bahan galian yang masih belum disentuh dan diusahakan.
Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, Malaysia mempunyai sejumlah RM732 bilion nilaian bahan galian yang masih belum disentuh dan diusahakan.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu perlu menyelaraskan dasar dan hala tuju perlombongan mineral supaya sejajar dengan kerajaan Pusat bagi memenuhi kehendak pasaran.

Tengku Sri Paduka Raja, Tengku Ibrahim Sultan Ismail Nasiruddin Shah berkata, ia bagi mengelak berlakunya karenah birokrasi yang dilihat memberikan tekanan kepada syarikat pelombong serta mempengaruhi pelaburan langsung asing (FDI).

Menurutnya, kelulusan permohonan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) perlu dilaksanakan di peringkat negeri dan tidak perlu melalui beberapa kerenah birokrasi rumit sehingga terganggu sekaligus memberi kesan kepada proses penjanaan pendapatan.

"Karenah kelulusan EIA dilihat terlalu cerewet dan mengambil masa yang agak lama untuk diluluskan.

"Saya sendiri turut tertekan apabila proses kelulusan EIA yang dipohon kini telah mengambil masa selama tiga tahun lebih, namun ia masih belum diluluskan.

"Hal ini menyebabkan syarikat perlombongan termasuk pelaburan langsung asing (FDI) mula hilang keyakinan seterusnya menarik diri. Hal ini berlaku di Terengganu," katanya menerusi satu kenyataan semalam.

Mengulas lanjut, katanya, kelulusan tanah bagi perlombongan mineral tertakluk di bawah kuasa kerajaan negeri namun kelulusan untuk memulakan perlombongan masih di bawah kuasa kerajaan Pusat.

"Dalam hal ini, kerajaan negeri dan kerajaan Pusat perlu menyelaraskan SOP dan hala tuju dasar perlombongan mineral yang menyokong antara satu sama lain, bukannya bertentangan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan negeri perlu mengukuhkan SOP kelulusan melombong dengan menubuhkan majlis atau jawatankuasa khas bagi memastikan permohonan tidak bertindan dan tidak menimbulkan masalah.

Katanya, fungsi majlis atau jawatankuasa ini akan membantu agar keputusan permohonan tidak mengambil masa yang begitu lama untuk diluluskan.

"Kerajaan negeri usah 'terumbang ambing' tanpa mempunyai hala tuju yang meyakinkan rakyat dan pelabur-pelabur khususnya dari luar negara untuk datang melabur di negeri ini.

"Dengan satu SOP yang lengkap dan berkesan, saya percaya semua pihak akan mempunyai keyakinan kepada polisi perlombongan yang akan memberi hasil lumayan kepada kerajaan," katanya yang berpengalaman hampir 40 tahun dalam industri perlombongan mineral.

Dalam pada itu, Tengku Ibrahim turut menyatakan sokongan terhadap pelaksanaan inisiatif ‘perlombongan sebagai satu kuasa ekonomi baharu’ di bawah Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli.

"Sebagai pemain industri perlombongan mineral yang agak lama, ini pertama kali saya melihat satu dasar di peringkat kementerian yang wajar disokong," katanya.

Terdahulu, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr Xavier Jayakumar berkata, Malaysia mempunyai sejumlah RM732 bilion nilaian bahan galian yang masih belum disentuh dan diusahakan.

Katanya, jika diusahakan dengan betul industri itu mampu menjadi kuasa ekonomi baru sekaligus menjadi antara sumber pendapatan alternatif negara khususnya di Terengganu.