Mayat dengan kesan tetakan di leher ditemukan tertiarap

Polis melakukan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tetak di leher dekat Baling, Kedah.
Polis melakukan siasatan berhubung penemuan mayat seorang lelaki dengan kesan tetak di leher dekat Baling, Kedah.
A
A
A

BALING - Seorang lelaki ditemukan maut dalam keadaan tertiarap dengan kesan tetakan di leher di tepi jalan arah Kampung Sirako, Tebing Tinggi, Kupang, di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintenden Shamsudin Mamat berkata, polis menerima panggilan kecemasan daripada orang awam mengatakan menemui mayat kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurutnya, sepasukan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling dihantar ke lokasi kejadian dan menemui mayat mangsa berhampiran kebun getah yang dikelilingi semak samun.

“Turut ditemui sebuah motosikal dalam keadaan terbalik kira-kira satu meter dari mayat mangsa," katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis masih belum mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui.

Penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di leher dimaklumkan orang awam kepada pihak polis.
Penemuan mayat lelaki dengan kesan tetakan di leher dimaklumkan orang awam kepada pihak polis.

Shamsudin berkata, polis telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki warga tempatan dan lima warga asing di kawasan kebun sayur lebih kurang dua kilometer dari tempat kejadian pada jam 1.30 petang bagi membantu siasatan.

Bagaimanapun katanya, punca dan motif kejadian masih dalam siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil atau menghubungi IPD Baling di talian 04-4708222 atau pegawai penyiasat kes, Asisten Superintenden Tan See Yean di talian 019-6687687 atau mana-mana balai polis berhampiran," katanya.