Kerani sekolah pancing udang dikhuatiri lemas jatuh bot

Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di bahagian tebing Sungai Perak bagi mengesan mangsa di Kati, Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba
Pasukan bomba menjalankan operasi pencarian di bahagian tebing Sungai Perak bagi mengesan mangsa di Kati, Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba
A
A
A

KUALA KANGSAR - Seorang kerani sekolah dikhuatiri lemas ketika memancing udang di Lubuk Batu Mat Gan, Sungai Perak berhampiran Kampung Tahan Kati di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, mangsa, Muhammad Faiz Azam, 33, telah terjatuh selepas bot dinaiki bersama dua rakannya terlanggar batu dan tersangkut.

"Kejadian sekitar jam 8.30 malam itu berlaku ketika mereka mahu memancing udang dan apabila sampai di kawasan lubuk berkenaan, bot dinaiki mereka terlanggar batu.

"Insiden itu menyebabkan mangsa yang duduk di bahagian hadapan telah terjatuh.

"Rakan mangsa cuba menghidupkan enjin bot untuk membantu namun mangsa telah dibawa arus dan tenggelam," katanya ketika dihubungi di sini pada Jumaat.

SAR mengesan mangsa melibatkan pasukan Bomba, APM, Rela dan orang awam di lokasi kejadian di Kati, Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba
SAR mengesan mangsa melibatkan pasukan Bomba, APM, Rela dan orang awam di lokasi kejadian di Kati, Kuala Kangsar. - Foto ihsan Bomba

Menurut beliau, Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) diaktifkan bagi menjalankan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa.

"Fasa pertama operasi dilaksanakan merangkumi radius tiga kilometer dari lokasi terakhir mangsa jatuh.

Artikel Berkaitan:

"Operasi memfokuskan di bahagian tebing sungai dan kaedah selaman dilakukan pasukan bomba di lokasi mangsa terjatuh," katanya.

Omar Bakhtiar berkata, operasi melibatkan pasukan Bomba, Agensi Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan (Rela) dan orang awam.