Selangor sumbang RM1 juta untuk Palestin

Amirudin (depan, kanan) menyempurnakan penyerahan kepada Zahairi (kiri) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada Jumaat.
Amirudin (depan, kanan) menyempurnakan penyerahan kepada Zahairi (kiri) di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri, Shah Alam pada Jumaat.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri menyerahkan sumbangan sebanyak RM1 juta kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) bagi mengurangkan kesengsaraan rakyat di negara bergolak terbabit.

Penyerahan disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari kepada Setiausaha Bahagian Asia Barat Kementerian Luar Negeri, Datuk Zahairi Baharim di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini pada Jumaat.

Menteri Besar berkata, secara rasminya sumbangan itu telah disalurkan ke tabung tersebut dan realitinya sudah sampai untuk membantu mangsa kekejaman yang jumlahnya di Gaza semakin meningkat.

Malah beliau berkata, sejak 2021 kerajaan negeri Selangor sudah menyalurkan bantuan dengan mengeluarkan dana untuk membeli ambulans dan peralatan kesihatan yang masih digunakan sehingga kini.

Dalam pada itu, Amirudin turut menggalakkan anak syarikat kerajaan negeri untuk bersama-sama menyalur sumbangan bagi membantu mangsa kekejaman di Palestin.

“Jadi kita akan buat tindakan susulan dengan melibatkan anak syarikat untuk tambah keperluan (mangsa di negara berkenaan) terutama dari segi perubatan,” katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.

Beliau ditemui pada majlis penyerahan sumbangan kerajaan negeri Selangor kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di sini.

Terdahulu, tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan menyumbang RM10 juta dana awal kepada tabung itu.

Artikel Berkaitan: