PDRM atur gerak aset, perketat kawalan sempadan

Razarudin memberi tabik hormat pada himpunan bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
Razarudin memberi tabik hormat pada himpunan bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) meningkatkan tahap keselamatan di pintu masuk dan persempadanan negara bagi menangani ancaman jenayah rentas sempadan yang dilihat semakin kompleks.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain@Abd Rasid berkata, bagi tujuan tersebut, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman telah mengatur gerak melibatkan kesemua elemen yang berada di bawah jabatan itu secara menyeluruh.

Beliau berkata, usaha PDRM membanteras kegiatan jenayah tersebut bukan sekadar tertumpu menjaga keselamatan di darat, malah meliputi ruang udara dan perairan negara.

"JKDNKA mempunyai fungsi serta peranan yang amat besar dalam mempertahankan keselamatan dan ketenteraman awam di negara ini.

"Untuk itu, pelbagai operasi bersepadu telah dilancarkan dengan mengatur gerak aset milik pasukan seperti kereta perisai, unit berkuda, pemantauan udara menggunakan helikopter dan dron di kawasan sempadan bagi mengetatkan lagi kawalan keselamatan," katanya pada Jumaat.

Razarudin memeriksa barisan anggota PDRM pada himpunan bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.
Razarudin memeriksa barisan anggota PDRM pada himpunan bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan amanat perhimpunan bulanan Ketua Polis Negara di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Razarudin berkata, berdasarkan statistik, sejumlah 6,476 kes di bawah JKDNKA dilaporkan pada tahun ini bermula Januari hingga September lalu.

Artikel Berkaitan:

Kata beliau, ia melibatkan sebanyak 4,356 tangkapan dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM789.99 juta.

Tambahnya, Biro Cawangan Wildlife Crime dan Perisikan Siasatan Khas telah berjaya membuat tangkapan dan rampasan terhadap pelbagai barangan makanan sejuk beku yang dianggarkan bernilai RM21 juta pada tahun ini.

Selain itu menurutnya, Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas 495 kilogram dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM17.8 juta.

Beliau berkata, bagi tempoh sama tahun ini, Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) melaksanakan sebanyak 28 serbuan dengan nilai rampasan sebanyak RM37.3 juta.

"Untuk tempoh sama, Op Kontraban melibatkan rokok dan minuman keras tidak bercukai menyaksikan Pasukan Polis Marin berjaya menahan seramai 64 orang.

"Serbuan itu melibatkan 110 kes rampasan rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM37.1 juta," ujarnya.