Jumlah mangsa banjir di Perak menurun kepada 268 orang

 41 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian. - Gambar hiasan
41 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian. - Gambar hiasan
A
A
A

IPOH - Jumlah mangsa banjir di Perak menurun kepada 268 orang daripada 84 keluarga malam ini berbanding 277 orang daripada 88 keluarga pagi tadi, yang ditempatkan di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Perak dalam kenyataan memaklumkan di daerah Hilir Perak sebanyak 227 mangsa daripada 75 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak dan Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) Langkap, melibatkan penduduk Lorong Kedah, Lorong Belakang Klinik, Batu 9 Simpang Tiga, Batu 7, Batu 9, Batu 10 dan Lorong Sidang Osman.

"PPS Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak di Kerian pula menempatkan 41 mangsa daripada sembilan keluarga dari Kampung Matang Tengah,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pula melaporkan paras air Sungai Bidor juga menurun tetapi masih pada tahap bahaya dengan ketinggian 3.70 meter berbanding 3.93 meter pagi tadi iaitu melepasi paras normal 2 meter.

Jalan Kubu Gajah Ijok-Sumpitan di Selama masih ditutup kepada semua kenderaan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) akibat tanah runtuh dan orang ramai boleh mengguna laluan alternatif di Jalan Pintasan Kampung Sumpitan-Kampung Masjid.

Selain itu, F 193 Jalan Proton City di daerah Mualim juga terhalang laluan kedua-dua arah dan ditutup kepada kenderaan akibat tanah runtuh. - Bernama

Artikel Berkaitan: