Izuan tidak sempat ke BAM

Allahyarham Izuan Ibrahim
Allahyarham Izuan Ibrahim
A
A
A

IMPIAN peminat badminton negara untuk melihat Izuan Ibrahim bertugas bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak kesampaian apabila jurulatih muda itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.20 malam tadi.

Bekas jurulatih Persatuan Badminton Perlis yang dijangka memulakan tugas bersama BAM awal tahun depan itu meninggalkan seorang balu dan tiga orang cahaya mata.

Izuan terlantar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian sejak 19 Disember lalu dan dipercayai mengalami pendarahan otak serta tidak sedarkan diri selama lima hari.

Pada 18 Disember lalu, beliau telah menjalani pembedahan mengeluarkan darah beku di otak setelah mengalami 'intracranial bleeding' sehingga menyebabkannya tidak sedarkan diri.

Presiden Persatuan Badminton Negeri Kelantan (PBNK), Dr Naharuddin Hashim berkata, berita pemergian Izuan sangat mengejutkan beliau dan semua penggiat badminton negeri.

"Ia merupakan satu kehilangan besar bagi dunia badminton negara dan negeri.

"Arwah merupakan contoh terbaik kerana beliau mempunyai kredibiliti dan sangat dedikasi dengan tugas yang dipertanggungjawabkan.

"Ini yang beliau lakukan sepanjang berkhidmat di negeri kelahiran pada 2015 hingga 2017 selepas berkelana di Ehime, Jepun selama tiga tahun," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jenazah Allahyarham akan disolatkan di rumah keluarga mentuanya di Kampung Banggol, Jalan Pantai Cahaya Bulan dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato' Kampung Banggol, tengah malam ini.