Bekalan air di Selangor disalur berperingkat malam ini

Charles (tiga dari kiri) pada sidang media di ibu pejabat SPAN di Cyberjaya hari ini.
Charles (tiga dari kiri) pada sidang media di ibu pejabat SPAN di Cyberjaya hari ini.
A
A
A

CYBERJAYA - Bekalan air kepada 1.5 juta penduduk di Selangor yang terjejas susulan pencemaran bau di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sejak tiga hari lalu akan disalurkan secara berperingkat selewat-lewatnya mulai malam ini.

Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Charles Santiago berkata, pihaknya menjangkakan air dapat disalurkan sepenuhnya kepada penduduk yang terjejas dalam tempoh tiga hari.

Menurutnya, ketika ini kerja-kerja pengepaman air telah mula dilakukan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 1 tengah hari tadi.

Beliau berkata, maklumat daripada Indah Water Konsortium (IWK) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) mendapati masalah pencemaran itu berpunca daripada pembuangan sisa haram seperti minyak hitam, lemak makanan dan sisa industri.

"Berdasarkan laporan itu juga kita dapati sisa haram yang telah mencemarkan sistem air yang sedia ada juga sangat banyak," katanya pada sidang akhbar di Pejabat SPAN di di sini hari ini.

Masalah pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa haram seperti minyak hitam, lemak makanan dan sisa industri.
Masalah pencemaran berpunca daripada pembuangan sisa haram seperti minyak hitam, lemak makanan dan sisa industri.

Mengulas lanjut, Charles berkata, susulan pencemaran kali kedua yang berlaku di loji yang sama itu, pihaknya memutuskan tiga perkara yang perlu dilaksanakan segera.

Katanya, tiga perkara yang dicadangkan itu adalah pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu membuat pemeriksaan penggunaan perangkap minyak di semua restoran berdekatan, pantau industri haram dan meminta Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) segerakan dasar berkaitan pencemaran bagi memastikan insiden sebegini tidak berulang.

Artikel Berkaitan:

"Sisa buangan di dalam loji kumbahan terlibat itu kita dapati banyak sisa makanan yang mungkin datang daripada restoran yang berdekatan.

"Jadi, kita minta PBT untuk jalankan pemeriksaan segera untuk memastikan semua restoran menggunakan perangkap minyak.

"Selain itu, pastikan juga sisa industri daripada bengkel-bengkel kereta haram turut diperiksa," katanya.

Keadaan loji kumbahan IWK di Bandar Bukit Mahkota yang terjejas teruk akibat pencemaran sisa haram.
Keadaan loji kumbahan IWK di Bandar Bukit Mahkota yang terjejas teruk akibat pencemaran sisa haram.

Beliau berkata, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan pencemaran khususnya terhadap sumber air.

Dalam pada itu, Charles turut mengakui pihaknya telah membuat laporan polis bagi membolehkan kes pencemaran itu disiasat dalam pelbagai sudut.

"Kita ada menerima banyak saranan untuk membuat laporan kepada polis bagi melihat kemungkinan wujud unsur sabotaj.

"Ini kerana, insiden pencemaran telah berlaku sebanyak tiga kali di Selangor dan dua kali di tempat sama," katanya.

Media sebelum ini melaporkan bekalan air di empat daerah di Selangor terjejas berikutan masalah pencemaran bau di Sungai Semenyih, kelmarin.

Lokasi yang terjejas ialah di sekitar Wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

ARTIKEL BERKAITAN: Pembuangan sisa haram punca LRA Sungai Semenyih tercemar