Tabung Sufi Syafrina ditutup, berjaya kumpul hampir RM250,000

Sufi Syafrina
Sufi Syafrina
A
A
A

SHAH ALAM - Kutipan Tabung Bantuan Adik Sufi Syafrina menerusi program Sinar Karangkraf bersama komuniti telah ditutup dan kini berjaya mengumpul hampir RM250,000.

Ketua Pemasaran dan Penjenamaan Grup Sinar Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, pihaknya menganggap ia sebagai petanda positif daripada orang ramai yang sentiasa prihatin untuk membantu Sufi Syafrina Mohd Syafiq, 9 bulan, meskipun negara dilanda kemelut ekonomi tidak menentu.

Menurutnya, penglibatan syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) juga memberikan sumbangan besar dalam meringankan beban Sufi Syafrina sejak tabung tersebut dilancarkan tiga bulan lalu.

“Saya amat berterima kasih dengan sokongan luar biasa daripada entiti korporat seperti Berjaya Group, Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat (Ikatan), Pertubuhan Kebajikan Tahanan dan Banduan Malaysia (PEKTAP), Lembaga Zakat Selangor serta syarikat lain yang meminta untuk tidak didedahkan identitinya.

“Mereka bukan sahaja beri sumbangan, malah turut sama berkongsi maklumat kepada staf misalnya hebahan poster untuk bantu adik Sufi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sinar Harian pada 23 Julai lalu melaporkan kisah Sufi Syafrina, penghidap penyakit genetik Atrofi Otot Spina (SMA) yang memerlukan dana lebih RM9 juta untuk rawatan suntikan jenis Zolgensma.

Bapanya, Mohd Shafiq, 38, berharap agar anak bongsu daripada tiga beradik itu mendapat suntikan tersebut secepat mungkin sebelum mencapai usia dua tahun untuk pulih sepenuhnya.

Ditanya mengenai perkembangan Sufi Syafrina, Nik Justin memaklumkan, pihaknya sentiasa berhubung dengan Mohd Syafiq dari masa ke masa untuk berkongsi maklumat terkini.

Artikel Berkaitan:

Ujar beliau, keadaan bayi berkenaan tidak menentu, tetapi masih stabil dan kini di bawah penjagaan rapi oleh keluarganya di rumah, namun tetap perlu berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.

“Alhamdulillah dia semakin baik cuma lemah di bahagian paru-paru, adik Sufi ini agak sensitif dengan sebarang penyakit dan mudah dijangkiti jadi ia sedikit sebanyak menjadi pencetus kepada kesakitan yang dialaminya.

“Oleh itu, saya dengan ini ingin mengumumkan bahawa Tabung Bantuan Sufi Syafrina ditutup, namun Sinar Harian akan sentiasa memaklumkan sebarang perkembangan dari masa ke masa.

“Jutaan terima kasih juga buat semua yang membantu, hanya ALLAH SWT sahaja mampu membalasnya dan teruskan berdoa untuk kesejahteraan Sufi Syafrina,” jelasnya.