Tindakan tegas ke atas pemandu, pemilik kenderaan perdagangan

Dari kiri; Muhammad Shafitz, Noor Azlan dan Mustafid.
Dari kiri; Muhammad Shafitz, Noor Azlan dan Mustafid.
A
A
A

SHAH ALAM - Bukan sekadar melaksanakan operasi sebaliknya tindakan tegas perlu diambil terhadap pemandu, pemilik atau syarikat perdagangan yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.

Demikian pandangan orang ramai berhubung Op Patuh Khas Kenderaan Perdagangan yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Bagi Muhammad Shafitz Abdul Malek, 30, operasi seumpama itu sangat penting dilakukan oleh JPJ di seluruh negara bagi mengesan dan menghalang pemandu kenderaan perdagangan yang bertindak melanggar peraturan lalu lintas.

Menurutnya, keselamatan orang ramai terutama pengguna jalan raya perlu diutamakan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku.

Katanya, pemeriksaan berkala perlu dilakukan oleh pihak berkuasa ke atas pemandu kenderaan perdagangan terutama ujian air kencing.

"Bukan sahaja pemandu itu perlu sihat tubuh badan, tetapi dia juga perlu bebas daripada apa jua jenis dadah.

"Kita semua pastinya tahu bahawa banyak kemalangan disebabkan pemandu mabuk, mereka yang terlibat dengan dadah dan cuai.

"Oleh sebab itu, pemeriksaan dan ujian air kencing perlu dilakukan bagi memastikan semua pemandu kenderaan perdagangan berada pada tahap terbaik untuk memandu setiap masa," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ketua Jabatan Pentadbiran Sumber Manusia Risda Estates Sdn Bdn, Noor Azlan Abd Rahman berkata, tindakan tegas perlu dilaksanakan bagi memastikan semua pemandu dan kenderaan perdagangan berada dalam keadaan terbaik.

Kata beliau, selain pemandu yang sah dan kenderaan bukan dipandu oleh warga asing tidak mempunyai lesen, pemilik kenderaan atau syarikat perdagangan perlu memastikan kenderaan yang beroperasi mematuhi segala peraturan ditetapkan.

Menurutnya, pemilik kenderaan perdagangan perlu memastikan perlindungan insurans dan cukai jalan tidak tamat tempoh.

"Perkara ini bukan sahaja sangat penting kepada pemandu, malah memberi keterjaminan hak serta perlindungan kepada orang ramai terutama pengguna jalan raya," katanya.

Perkara sama turut disokong Pegawai MeSRA Institut Teknologi Kejuruteraan Marin Malaysia (MIMET) Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Mustafid Dahalan yang mahu penguatkuasa bertindak tegas dan tidak berkompromi dengan mana-mana pesalah jalan raya.

Kata beliau, kenderaan perdagangan perlu sentiasa berada dalam keadaan terbaik termasuk bunga tayar yang masih elok, sistem brek boleh berfungsi dengan baik serta tidak membawa lebih muatan.

"Ini merupakan isu yang sentiasa dibangkitkan oleh masyarakat dan perkara ini pastinya menjadi keutamaan petugas-petugas JPJ di lapangan.

"Jangan biarkan kumpulan pesalah jalan raya bermaharajalela dan membahayakan orang ramai kerana kita tidak mahu nyawa insan tidak bersalah dipertaruhkan," tegasnya.