Johari nafi terbabit pembelian Eagle High Plantation

Johari
Johari
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menafikan terbabit dengan pembelian Eagle High Plantation (EHP), firma perladangan dari Indonesia yang dimiliki Peter Sondakh.

Memetik portal Free Malaysia Today, Johari berkata, Felda bukan sebahagian daripada portfolionya ketika berkhidmat sebagai Menteri Kewangan II.

“Jika ia (portfolio saya), saya tidak fikir urus niaga itu diteruskan,” katanya sebagai mengulas kritikan Penasihat Khas Media dan Komunikasi Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin.

Kumpulan Rajawali Indonesia yang merupakan pemilik EHP menjual 37 peratus pegangannya dalam syarikat perladangan itu kepada Felda.

Pada April tahun lalu, Felda telah membuat laporan polis mendakwa pembelian itu dipaksa oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan pemimpin kanan kerajaan melalui satu pinjaman kerajaan.

Bagaimanapun, Najib mempertahankan urus niaga itu dengan berkata, Felda boleh menarik diri daripada pembelian itu pada bila-bila masa dengan menggunakan opsyen put dengan meminta Rajawali membeli balik saham tersebut dan membayar faedah sebanyak 6 peratus.

Berikutan kenyataan itu, Johari berkata, beliau sedia memberi kerjasama sepenuhnya bagi membantu siasatan.

“Pihak berkuasa boleh menyiasat perkara itu sepenuhnya. Saya akan berikan kerjasama penuh bagi membantu siasatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Kadir sepatutnya menjawab secara khusus isu yang dibangkitkannya apabila beliau mengkritik kerajaan Pakatan Harapan (PH), bukannya menimbulkan perkara yang bersifat memfitnah.

“Saya memandang serius apa-apa dakwaan yang bertujuan menggambarkan saya mempunyai peranan dalam pembelian EHP.

“Sebagai individu yang bertanggungjawab ke atas komunikasi, Kadir harus tahu bagaimana untuk memberi respons secara intelektual, iaitu dengan fakta,” katanya.

Dalam artikel yang diterbitkan Sabtu lalu, Johari bercakap tentang ‘isu teras’ yang memberi kesan kepada ekonomi, termasuk perdana menteri selepas ini, pusingan U kerajaan dan proses pembuatan keputusan Putrajaya yang kabur.

Johari juga berkata, dalam skala 1-10, pencapaian kerajaan PH adalah di bawah par dalam bidang tertentu iaitu ekonomi, pembangunan, dasar, fokus dan sebagainya.

“Tetapi dari sudut governans, ia lebih baik. Barangkali ia telah belajar daripada kesilapan lampau,” katanya.