[VIDEO] Amanah Perak lapor polis terhadap ADUN Kamunting

A
A
A

IPOH - Parti Amanah Negara (Amanah) Perak membuat laporan polis susulan ucapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kamunting, Mohd Fakhrudin Abd Aziz ketika Muktamar Pas kali ke-69 baru-baru ini.

Pengarah Komunikasi Amanah Perak, Azhar Rahman berkata, tindakan itu dilakukan bagi meminta siasatan dibuat terhadap pemimpin Pas itu berkaitan dakwaan mengenai isu menyentuh soal agama, kaum dan Raja-Raja Melayu (3R) ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada muktamar tersebut.

Menurutnya, selain itu kenyataan bahawa Pas akan memerintah kerajaan negeri Perak dalam masa terdekat di dalam ucapan itu juga perlu disiasat kerana ia menimbulkan ketidakstabilan serta menghilangkan keyakinan pelabur ke negeri ini.

Azhar (dua dari kanan) bersama pimpinan Pemuda Amanah Perak menunjukkan kenyataan media ketika membuat laporan polis di IPD Ipoh pada Selasa.
Azhar (dua dari kanan) bersama pimpinan Pemuda Amanah Perak menunjukkan kenyataan media ketika membuat laporan polis di IPD Ipoh pada Selasa.



"Sudah dijelaskan banyak kali oleh Menteri Besar Perak bahawa kerajaan ini kekal utuh dan kita pun dah ada akta anti lompat parti yang mana perkara ini tidak lagi timbul kerana sedikit sebanyak menjejaskan keyakinan pelabur untuk membangunkan negeri Perak. Jadi kenyataan-kenyataan seperti ini sebenarnya mengganggu perjalanan pentadbiran negeri.

"Kami tidak ada pilihan kerana sudah pun diberikan amaran bahawa beliau perlu menjelaskan tetapi tiada tindakan susulan. Jadi kita ambil keputusan untuk membuat laporan polis supaya pihak berkuasa menyiasat dan mendakwa jika didapati bersalah dalam hal ini," katanya kepada pemberita ketika membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini pada Selasa.

Azhar berkata, kenyataan kononnya agama Islam sedang diancam juga merupakan dakwaan tidak bertanggungjawab kerana agama Islam terletak di bawah Raja-Raja Melayu.

Menurutnya, perkara itu langsung tidak berasas kerana dalam belanjawan yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memperuntukkan RM1.9 bilion khusus untuk institusi agama Islam di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Exco Pemuda Amanah Perak turut mencabar mana-mana pemimpin Pas untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Katanya, melalui debat itu, mereka boleh mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaan yang dibuat sekali gus menghentikan kenyataan tidak bertanggungjawab berkenaan.

Menerusi laporan media pada Sabtu lalu, Mohd Fakhrudin ketika membahaskan ucapan dasar presiden sempena Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-69 sebagai perwakilan dari Perak menyatakan bahawa Pas mengharapkan mereka dapat memerintah Perak dalam masa terdekat.

Dalam ucapan sama, Pengarah Pilihan Raya Pas Perak itu turut mendedahkan terdapat desakan supaya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dimansuhkan bagi menghalang usaha bagi memartabatkan undang-undang syariah dan institusi mahkamah syariah.